Tangkapan pegawai kanan tv ‘tiada kaitan’ dengan syarikat

Tangkapan pegawai kanan tv ‘tiada kaitan’ dengan syarikat

Sarawak Media Group/TVS menjelaskan operasi berjalan seperti biasa sambil menolak pihak syarikat mempunyai sebarang kaitan.

Pegawai kanan syarikat penyiaran Sarawak
Polis mengiringi seorang pegawai kanan syarikat penyiaran selepas ditahan di Kuching semalam bagi bantu siasatan pengubahan wang.
PETALING JAYA:
Penangkapan seorang pegawai kanan Sarawak Media Group/TVS tidak berkaitan dengan syarikat itu mahupun operasi stesen televisyen.

Dalam kenyataan mengesahkan penahanan pegawai berusia lingkungan 60-an itu semalam, syarikat berkenaan memaklumkan: “Kami memahami keprihatinan semua pihak terhadap perkara ini dan ingin menegaskan bahawa perkara ini tidak berkaitan dengan Sarawak Media Group/TVS.”

TVS merupakan syarikat penyiaran yang sebelum ini dikenali TV Sarawak.

Katanya, operasi entiti berjalan seperti biasa.

“Sarawak Media Group/TVS terus komited untuk menjaga integriti dan mengekalkan kepercayaan semua pihak berkepentingan dan masyarakat umum,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak syarikat turut mengingatkan mana-mana pihak tidak menyebarkan maklumat palsu atau tuduhan tidak berasas.

“Kami memandang serius tindakan sedemikian,” katanya sambil merujuk perbuatan terbabit boleh menyebabkan implikasi tidak wajar terhadap reputasi syarikat.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan penahanan lima individu, termasuk seorang pegawai pengurusan tertinggi sebuah syarikat penyiaran Sarawak menerusi Op Ragada kerana disyaki terbabit kes pengubahan wang haram.

Katanya, empat lelaki dan seorang wanita dalam lingkungan 20 hingga 60 tahun itu ditahan di beberapa lokasi, termasuk Pulau Pinang dan Sarawak, dengan nilai rampasan aset keseluruhan berjumlah RM17,434,217.

Beliau berkata, modus operandi mereka ialah menjalankan aktiviti pengubahan wang haram melalui transaksi kewangan mencurigakan dan kesalahan pecah amanah jenayah, tipu tender dan menganugerahkan tender kepada diri atau ahli keluarga.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001, Seksyen 409, 420 dan 403 Kanun Keseksaan serta Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.