
Ketua Polis Kuala Langat, Akmalrizal Radzi, berkata pihaknya sudah mengambil enam keterangan, termasuk pengasuh terbabit.
“Siasatan masih berjalan dan setakat ini terdapat unsur kecuaian dan pengabaian pengasuh kerana meninggalkan mangsa dalam tempoh lama tanpa pemantauan.
“Keputusan bedah siasat ‘pending lab analysis’,” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, kertas siasatan sudah dirujuk ke D5 IPK Selangor dan ada beberapa arahan perlu diambil tindakan sebelum dirujuk ke timbalan pendakwa raya.
Mangsa dikenali Khairul Handzalah Sufi Khairul Azwan dibawa seorang pengasuh taska ke klinik di Bandar Saujana Putra dalam keadaan pucat serta kebiruan di bahagian bibir dan kaki.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Cyberjaya dengan ambulans, sebelum bayi itu disahkan meninggal dunia pada 5.05 petang 3 Jan lalu.
Polis kemudian membuka kertas siasatan bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Khamis lalu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor, Azmir Kassim mengesahkan taska yang tidak berdaftar dengan pihaknya sudah diarahkan tutup.