
Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Azmi Hassan, berkata ini kerana pemimpin PKR dipilih ke jawatan itu boleh menyokong Anwar meneruskan pentadbirannya di Putrajaya selepas PRU16 walaupun sudah mencapai had tiga penggal sebagai presiden parti.

“Ini yang mungkin cuba dikatakan (naib presiden PKR) Nik Nazmi Nik Ahmad untuk menstabilkan kepimpinan Anwar.
“Bagi saya jawatan itu (timbalan dan naib presiden) penting bagi mengekalkan kedudukan Anwar sebagai perdana menteri walaupun bukan lagi menjadi presiden,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Nik Nazmi, kelmarin, yang dilaporkan Berita Harian bahawa pemilihan parti dijadualkan selepas Mei ini bertujuan menstabilkan kepemimpinan Anwar.
Ketika ini, jawatan timbalan presiden PKR disandang Menteri Ekonomi Rafizi Ramli manakala kerusi naib presiden pula diduduki Nik Nazmi yang juga menteri sumber asli dan kelestarian alam selain Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang.
Semuanya menang pada pemilihan berlangsung Mei 2022. Mereka yang dilantik sebagai naib presiden pula terdiri Nurul Izzah Anwar, Saraswathy Kandasami dan Awang Husaini Sahari.
Anwar mula mengetuai PKR pada penggal 2018-2021 sebelum mempertahankan kedudukan itu untuk penggal 2022-2025, kedua-duanya menang tanpa bertanding.
Pada kongres khas bulan lalu, Anwar menggesa proses pemilihan parti dilaksanakan segera bagi membolehkan peralihan kepimpinan selaras dengan prinsip demokrasi dijunjung tinggi.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berpendapat kenyataan Nik Nazmi bukan bermaksud tiada lagi demokrasi dalam PKR kerana seolah-olah tiada pertandingan bagi jawatan tertinggi disandang Anwar.
“Saya rasa seperti yang Nik Nazmi kata ia lebih kepada mengukuhkan kedudukan PKR dalam kerajaan. Namun, saya rasa sikap terbuka untuk bersuara dan menyoal presiden PKR sepatutnya berterusan.
“Kestabilan tak bererti semua berdiam dan ia tak bagus untuk parti kerana presiden perlu tahu perkara di bawah,” katanya.