
Pengerusi Mahkamah Perusahaan, M Eswary, berkata kegagalan syarikat itu mendapatkan keterangan Kerk Han Meng – pengarah yang menamatkan perkhidmatan pihak menuntut, Sim Chin Hu – punca kekalahan dalam kes berkenaan.
“Mahkamah hanya mempunyai keterangan saksi lain syarikat itu yang tidak terlibat secara peribadi dalam pemecatan pihak menuntut,” katanya dalam award 59 muka surat yang dibuat awal bulan ini.
Eswary berkata, ketidakhadiran Kerk menyebabkan pihak menuntut tiada peluang memeriksa balas tuduhan dikemukakan syarikat terhadapnya.
Katanya, ia turut menghalang pihak menuntut mendapat jawapan mengapa dia diberhentikan sehari selepas menjawab notis tunjuk sebab bertarikh 24 Nov 2019.
Eswary membuat inferens bertentangan jika Kerk memberi keterangan, ia akan memudaratkan kes syarikat terbabit.
Beliau memutuskan award RM2,226,000 kepada pihak menuntut sebagai pampasan dan tunggakan gaji.
Pihak menuntut yang dibayar gaji RM70,000 sebulan, diberikan 24 bulan gaji tertunggak (tertakluk kepada potongan 30% bagi pendapatan selepas pemecatan) dan gaji 15 bulan sebagai pampasan dalam ganti rugi pengembalian jawatan.
Kerk dan pihak menuntut menubuhkan syarikat itu sebagai rakan kongsi sama pada 2001 untuk mengeksport dan mengimport polimer serta produk tekstil.
Menurut pihak menuntut, mereka berdua bersetuju terbabit dalam pengurusan syarikat dan pembangunan perniagaannya.
Pada Januari 2017, mereka bersetuju menerima Eric Kua sebagai rakan kongsi.
Pihak menuntut berkata Kerk, Kua dan Ainsley Lee kemudian cuba menggambarkan dia bertanggungjawab sepenuhnya atas kerugian syarikat itu di Afrika Selatan bagi menyingkirkannya daripada pengurusan.
Syarikat itu memfailkan saman sivil terhadap pihak menuntut atas dakwaan menyeleweng RM38 juta, mengaut keuntungan rahsia dan mengakibatkan kerugian lain. Saman itu difailkan atas tuduhan sama yang dinyatakan dalam surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada pihak menuntut.
Tetapi, Mahkamah Tinggi menolak saman syarikat itu pada 19 Ogos 2024.
Eswary mendapati pihak menuntut sudah menjelaskan secara menyeluruh ketika menjawab notis tunjuk sebab dan membuktikan di mahkamah bahawa pengurusan dan kakitangan syarikat itu mengetahui transaksi di Afrika Selatan, serta transaksi terbabit mendapat kelulusan Kerk.
“Hakikatnya, pihak menuntut adalah pengarah bertanggungjawab mengendalikan kebanyakan, jika bukan semua, perniagaan perdagangan antarabangsa dan diberi kuasa meneruskan transaksi sedemikian,” kata Eswary.
Beliau mendapati pihak menuntut mempunyai budi bicara mutlak untuk memutuskan apa yang terbaik buat syarikat itu.
Sebaliknya, beliau berkata, syarikat itu gagal membuktikan tuduhan dikemukakan terhadap pihak menuntut untuk mewajarkan pemecatannya.
“Kesimpulan tidak boleh ditolak ialah pemecatan pihak menuntut tanpa sebab dan alasan adil.”
Pihak menuntut diwakili Brendan Navin Siva dan Aida Haryani Salamon, manakala Max Yong dan Dominic Foo mewakili syarikat itu.