PAS ibarat anak gadis digilai ramai, dakwa ketua Pemuda

PAS ibarat anak gadis digilai ramai, dakwa ketua Pemuda

Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata segala tindak tanduk PAS kini diperhatikan sejak pembabitan himpunan untuk bekas presiden Umno Najib Razak.

afnan
Afnan Hamimi Taib Azamudden nafi hubungan PAS dan Bersatu semakin tegang seperti didakwa seorang penganalisis bebas.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PAS mendakwa parti itu ibarat anak gadis digilai ramai, susulan perhatian diberikan terhadapnya sejak pembabitan dalam himpunan solidariti untuk bekas perdana menteri Najib Razak di Istana Kehakiman, Isnin lalu.

Menyifatkan ‘anak gadis’ itu penuh dengan cinta atas prinsip dan keadilan, Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata segala tindak tanduk partinya kini diperhatikan dan menjadi bualan ramai.

“PAS nampaknya dah jadi anak gadis yang jadi rebutan dan dicintai ramai. Buktinya semua orang sedang bercakap dan mengulas tentang setiap tindak tanduk ‘anak gadis’ ini.

“Semakin banyak orang bercakap tentang dirinya, semakin berputik cinta orang ramai kepadanya,” kata Ahli Parlimen Alor Setar itu kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan seorang penganalisis bebas menyifatkan PAS mahir bermain cinta tiga segi apabila didakwa cuba memulihkan hubungan dengan Umno, pada masa sama tetap bersama Bersatu.

Merujuk sokongan PAS kepada himpunan membabitkan bekas presiden Umno, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri berkata parti pimpinan Hadi Awang cuba ‘menari dengan kedua-dua pasangan serentak’.

Beliau mendakwa hubungan PAS dan Bersatu kini mula tegang apabila parti itu membuat gerakan sulit bersama Umno.

Zaharuddin bagaimanapun tidak menjelaskan gerakan itu.

Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan di Putrajaya berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Umno dan PAS pernah bekerjasama di bawah Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan ketika keduanya dalam blok pembangkang ketika di era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14.

Bagaimanapun ia seolah terkubur pada 2022 selepas PAS membentuk Perikatan Nasional (PN) bersama Bersatu, dan pada masa sama mahu parti itu diterima dalam MN, tetapi dibantah Umno.

Mengulas dakwaan PAS dan Bersatu semakin tegang, Afnan berkata rumah didiami dua parti itu dalam PN semakin besar dan ahli keluarganya semakin bertambah.

“PAS dan Bersatu bukan setakat bercinta, tapi dah duduk serumah. Ahli keluarga semakin bertambah dan membesar.

“Rumah itu sekarang sedang dibesarkan ramai orang,” kata Afnan yang juga ketua Pemuda PN.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.