
Sehubungan itu, beliau meminta Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berunding dengan semua pihak bagi melakukan penyesuaian untuk menyelamatkan sebahagian Tapak Pesta Sungai Nibong.
“Kita mengambil kira pandangan ini dan sedang berbincang kerana orang Pulau Pinang ini menarik, mereka sentimental, sentimen dengan nasi kandar, sentimen dengan tapak pesta (dan) kalau boleh semua nak kekal seperti yang lama,” katanya menurut Bernama pada Majlis Pecah Tanah Projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang di Tapak Stesen LRT Bandar Sri Pinang.
“Tetapi, mereka nak LRT…saya rasa orang Pulau Pinang juga kena rumus dengan baik. Membawa perubahan, sedikit penyesuaian juga harus dilakukan, bagaimanapun kerana hal ini telah dibangkitkan ramai, saya minta ketua menteri berbincang bagaimana kita boleh buat sedikit penyesuaian sekiranya perlu.”
Turut hadir Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Menteri Sumber Manusia Steven Sim, Chow dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Mohd Zarif Hashim.
Pada 8 Jan lalu, Chow memaklumkan sebahagian Tapak Pesta Sungai Nibong dalam perancangan diambil alih bagi mendirikan depoh LRT Laluan Mutiara dan ia dibentangkan MRT Corp selaku pemaju serta pemilik aset kerajaan negeri, namun ia masih di peringkat cadangan konsep.
Anwar berharap MRT Corp dapat menjalankan tugasnya dengan telus, bersih, cekap dan mengurus dengan baik tanpa sebarang ketirisan, selain pembangunan LRT perlu melihat aspek menjaga kepentingan awam seperti perumahan, kemudahan asas dan keperluan pemindahan adil dari segi tanah.
Menurutnya, seiring keperluan negara untuk berkembang serta berteknologi moden dan maju, pembangunan termasuk LRT perlulah menjaga identiti khas Pulau Pinang dan Malaysia.
Projek LRT Laluan Mutiara meliputi jajaran sepanjang 29.5km merangkumi 21 stesen di lokasi strategik, termasuk sebuah stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang atau Penang South Reclamation Island-A (PSR-A).
Penjajaran bermula dari PSR-A merangkumi dua stesen terminus, iaitu Penang Sentral dan Komtar dengan kedua-dua laluan akan beroperasi secara selari menerusi penjadualan bergilir, memastikan perjalanan lebih lancar dengan masa perjalanan dioptimumkan.
Dijangka beroperasi pada 2031, LRT Laluan Mutiara itu juga menyaksikan sambungan stesen terminus dari Komtar ke Penang Sentral, meningkatkan kesalinghubungan penduduk di kedua-dua belah Selat Pulau Pinang.
Sementara itu, Loke berkata, MRT Corp selaku pemaju akan bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) di Tapak Pesta, era baharu pembaharuan bandar di kawasan Sungai Nibong.
Katanya, pembangunan depoh di Tapak Pesta akan disepadukan dengan pembangunan perumahan dan kawasan perniagaan, termasuk rumah mampu milik serta pelbagai kemudahan untuk menyokong akitiviti harian penduduk.
“Projek LRT Laluan Mutiara bukan saja akan meningkatkan kesalinghubungan penduduk Pulau Pinang, tetapi juga kualiti kehidupan orang ramai, memperkasakan komuniti setempat serta mendorong pembangunan inklusif.
“Daripada peringkat pembinaan hinggalah peringkat operasi, projek LRT Laluan Mutiara bakal menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, menyumbang kepada pemberdayaan ekonomi dan tenaga kerja Pulau Pinang terangkum.”