
Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM19.84 juta adalah untuk 62 sekolah persendirian Cina, manakala RM1 juta bagi Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin.
Perdana menteri berkata, peruntukan ini sebagai tanda pihak kerajaan menghargai khidmat sekolah-sekolah persendirian Cina.
“Kita menghargai kesetiaan mereka dalam menyesuaikan kurikulum dengan menghormati bahasa kebangsaan dan mengangkat martabat rakyat secara keseluruhan,” katanya dalam ucapan ketika melawat Sekolah Menengah Persendirian Jit Sin.
Tahun lalu, kerajaan diwakili Menteri Pengangkutan Loke Siew Foo mengumumkan peruntukan RM18.9 juta untuk 63 sekolah persendirian Cina dengan setiap sekolah menerima RM300,000.
Ketika lawatannya, Anwar turut mengimbau nostalgia semasa beliau menjadi guru sandaran bahasa Melayu di sekolah berkenaan sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Anwar berkata, ketika beliau mengajar selama setahun di sekolah terbabit, bahasa Cina dianggap bahasa suku kaum itu sahaja, namun ia kini muncul sebagai bahasa ekonomi penting dengan kemaraan negara China sebagai kuasa ekonomi besar dunia.
Beliau berkata, jika rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa Cina dengan baik, ia akan memberi keuntungan kepada negara.
“Saya mengajar di sini setahun, namun tidak ada yang paksa saya untuk meninggalkan minat saya menguasai bahasa dan budaya Melayu, tidak ada usaha untuk mengeluarkan saya daripada agama.
“Walaupun saya tidak bersetuju sepenuhnya dengan budaya barat, kita harus terima kepelbagaian bahasa lain apatah lagi bahasa yang boleh membantu kita pada peringkat antarabangsa, seperti bahasa Inggeris,” katanya.
Menurut Anwar, di samping memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kerajaan turut memberikan penekanan kepada penguasaan bahasa Cina dan Inggeris yang dianggap bahasa ekonomi dunia.
Beliau berkata, langkah ini perlu bagi mengangkat martabat Malaysia sebagai kawasan ekonomi penting.