
Hakim Evrol Mariette Peters berkata alasan lelaki itu tidak mempunyai kemampuan kewangan dan mendakwa tidak mematuhi perintah mahkamah secara tidak sengaja tidak boleh dipertahankan.
“Pempetisyen-suami tidak membuat sebarang usaha membayar nafkah anak-anak sejak 2013 atau untuk mendapatkan perintah pindaan mahkamah.
“Rasa tidak endah yang jelas terhadap perintah itu menunjukkan kurangnya kepedulian bukan sahaja ke atas mandat undang-undang, yang lebih penting kesejahteraan anak-anak itu, yang mana kebajikan terjejas akibat disengajakan,” katanya dalam penghakiman baru-baru ini.
Hakim itu berkata kedudukan kewangan sememangnya berubah-ubah berdasarkan status pekerjaan, keadaan ekonomi atau pilihan peribadi.
Peters berkata, kesulitan kewangan walaupun mencabar kebiasaannya bersifat sementara dan mungkin boleh diuruskan menerusi pelbagai kaedah, seperti belanjawan teliti, mencari kerja tambahan, atau akses sumber komuniti dan perkhidmatan sosial.
Sebaliknya, hakim berkata tanggungjawab ibu bapa menjaga dan menafkahi anak-anak mereka kekal, tanpa mengambil kira kedudukan kewangan.
“Menggunakan kesulitan kewangan sebagai alasan mengabaikan keperluan anak-anak menunjukkan realiti bahawa cabaran sedemikian sepatutnya ditangani, berbanding menggunakannya sebagai justifikasi kegagalan memenuhi tanggungjawab ibu bapa,” katanya.
Peters berkata, si suami, dikenali sebagai KOH, berulang kali menyatakan kesulitan kewangan sepanjang prosiding, mendakwa dia mendapat gaji asas hanya kira-kira RM2,800 sebulan.
Namun, ‘perbelanjaan asas bulanannya’ berjumlah RM13,638.68 bercanggah dengan dakwaannya miskin dan meremehkan hujahan bahawa dia tidak mempunyai kapasiti kewangan.
Fakta kes mendedahkan suami dan isteri, dikenali sebagai POH, bercerai pada 2012 dengan perjanjian dia akan membayar RM2,000 sebulan bagi nafkah anak-anak.
Meskipun itu, KOH enggan membayar sejak 2013, mengakibatkan bekas isteri menanggung semua tanggungjawab kewangan bagi dua anak itu.
Pada Ogos 2021, POH memfailkan permohonan meningkatkan nafkah anak-anak daripada RM2,000 kepada RM8,000 berdasarkan keadaan semasa perubatan mereka.
Dua bulan kemudian, mahkamah membenarkan perubahan itu dan mengarahkan bekas suami membayar RM74,000 tunggakan nafkah bagi tempoh Julai 2018 hingga Julai 2021, susulan perintah pada Ogos 2012.
KOH kekal enggan membuat pembayaran mengikut dua perintah mahkamah, di mana kini berjumlah RM266,825.49, dengan mendakwa mengalami kesulitan kewangan.
Pada November 2023, bekas isteri memulakan prosiding komital terhadap KOH kerana kegagalannya membayar jumlah seperti diperintah mahkamah.
Peters mendapati KOH menghina mahkamah dan mengarahkan jumlah tunggakan dibayar dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh keputusannya.
Gagal berbuat demikian akan mengakibatkan pemenjaraan sehingga penghinaan itu dilupuskan.