Dakwa sebar berita palsu titah adendum, setpol Zaliha lapor KJ

Dakwa sebar berita palsu titah adendum, setpol Zaliha lapor KJ

Selain wakil Dr Zaliha Mustafa, seorang lagi wakil menteri kepada Azalina Othman Said turut membuat laporan ke atas bekas menteri kesihatan itu dalam audio siarnya.

Khairy
Khairy Jamaluddin didakwa mengeluarkan kenyataan berniat jahat, menghina, dan sebar maklumat palsu mengaitkan dua menteri, Dr Zaliha Mustafa dan Azalina Othman Said. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dua laporan polis dibuat terhadap bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin, atas kenyataannya berhubung isu dokumen satu perintah membolehkan bekas perdana menteri, Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bawah tahanan rumah.

Semalam, dilaporkan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, Suraya Yaacob, membuat laporan susulan Khairy mengaitkan Azalina ‘berkomplot’ menyembunyikan titah itu.

Selain wakil Azalina, Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Nor Azrina Surip, turut membuat laporan sama ke atas bekas Ahli Parlimen Rembau itu.

Katanya, kenyataan fitnah Khairy itu diperoleh menerusi video berdurasi tiga minit 14 saat yang diterima melalui kumpulan WhatsApp, dengan mendakwa Zaliha sepatutnya tahu akan adanya dokumen berkenaan.

“Dr Zaliha telah mengeluarkan kenyataan pada semalam memaklumkan bahawa beliau tidak pernah melihat dokumen disebutkan itu,” katanya menurut Bernama.

Zaliha merupakan menteri dipertanggungjawabkan dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Kedua-dua mereka memohon supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh terhadap Khairy kerana berniat jahat memfitnah, menghina nama baik, dan reputasi menteri serta menyebarkan maklumat palsu.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dalam kenyataan semalam juga mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan berkaitan permohonan pengampunan Najib dalam fail atau rekod rasminya.

Dilaporkan, Khairy menerusi audio siar ‘Keluar Sekejap’ pada Jumaat, mendakwa Azalina bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan membenarkan Najib Razak menghabiskan hukuman pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Najib pada Isnin peroleh kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu yang membenarkannya menjalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Beberapa pihak menuduh kerajaan sorok titah tersebut, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.