Bawa pihak sorok titah adendum ke muka pengadilan, gesa PAS Pahang

Bawa pihak sorok titah adendum ke muka pengadilan, gesa PAS Pahang

Pesuruhjaya Rosli Abdul Jabar berkata tindakan menyembunyikan titah adendum adalah pengkhianatan kepada Sultan Pahang.

najib razak
Isnin lau Najib Razak peroleh kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Agong terdahulu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
PAS Pahang menggesa pihak yang menyembunyikan titah adendum bekas perdana menteri Najib Razak dibawa ke muka pengadilan.

Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar, berkata tindakan menyembunyikan titah adendum itu adalah pengkhianatan kepada Sultan Pahang dan prinsip kesetiaan kepada raja dan negara.

“PAS Pahang mengutuk sebarang usaha menyembunyikan titah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaku Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Setiap tindakan yang cuba mencemarkan kewibawaan institusi Raja-raja Melayu, terutama melibatkan penyelewengan kuasa adalah satu tindakan yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, menyangkal beliau menyembunyikan titah adendum berkait tahanan rumah bekas presiden Umno itu.

Zaliha yang juga ahli Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menjelaskan, beliau seperti ahli Jemaah Menteri tidak pernah melihat dokumen itu.

Sebelum itu, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) juga mengesahkan tidak menerima sebarang titah adendum daripada Istana Negara untuk Najib menjalani tahanan di rumah.

Agensi itu yang bertindak sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengesahkan tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum berada dalam fail atau rekod rasmi bawahnya.

Pada Isnin, Najib yang juga bekas Ahli Parlimen Pekan memperoleh kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah adendum oleh Yang di-Pertuan Agong terdahulu, membenarkannya menjalani baki pemenjaraan bawah tahanan rumah.

Beberapa pihak menuduh kerajaan menyembunyikan titah itu, selepas peguam Najib, Shafee Abdullah, mengemukakan kepada mahkamah surat daripada Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang yang mengesahkan kewujudan titah adendum itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.