
Beliau berkata Rang Undang-undang (RUU) Perubahan Iklim Negara menyediakan rangka kerja jelas jenis industri yang mahu ditarik negara untuk mencapai matlamatnya, khasnya dalam usaha penyahkarbonan.
Menurutnya, RUU itu dirangka bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Beliau mendapati kerajaan mula beralih daripada ekonomi kos rendah dan bergaji rendah kepada ekonomi bernilai tinggi.
“Itulah ekonomi hijau yang kita mahu. Saya rasa ia sangat penting,” katanya dalam wawancara bersama FMT.
Inisiatif memperkenalkan akta berhubung perubahan iklim pertama kali dicadangkan pada 2018 sejurus Pakatan Harapan berkuasa, tetapi kemudian berdepan beberapa masalah.
Dua tahun lalu, Nik Nazmi ketika menjelaskan keputusan menangguhkan penggubalan RUU Perubahan Iklim Negara berkata, beliau tidak mahu ‘tergesa-gesa’ dalam merangka akta itu.
Dalam tindak balas terhadap kritikan, katanya beliau mahu RUU ‘menyeluruh dan berkesan’ bukannya ‘tidak bergigi’.
Tetapi, bagi Nik Nazmi lebih banyak usaha diperlukan untuk memerangi perubahan iklim.
Dari segi impak ekonomi, penyelidikan menunjukkan kegagalan menangani perubahan iklim boleh menyebabkan
11% kemerosotan keluaran dalam negara kasar Asia Tenggara menjelang akhir abad ini.
Bagaimanapun, beliau berpendapat ia bukan hanya berpunca daripada dolar dan sen.

Dalam buku baharunya ‘Saving the Planet: Climate and Environmental Lessons from Malaysia and Beyond’, Nik Nazmi berkata impak ekonomi hanya satu pertiga daripada tiga krisis planet.
Dua krisis lain ialah pencemaran dan kehilangan biodiversiti.
Tulisnya, perubahan iklim kini mencapai tahap kritikal, dengan kenaikan suhu global berpunca daripada manusia mencapai 1.1 darjah celsius.
Walaupun kesan ekonomi daripada tiga krisis planet adalah nyata dan paling berkesan dalam menggerakkan kerajaan serta perniagaan untuk bertindak, ‘kita belum sampai ke teras isu’.
“Kita hanya boleh melihat sesuatu dengan jelas apabila kita sedar manusia sebahagian daripadanya, bukan terasing daripada, alam semula jadi.”