Video TMM 2026 wajar ambil kira elemen Islam, kata menteri agama

Video TMM 2026 wajar ambil kira elemen Islam, kata menteri agama

Na'im Mokhtar berkata institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti kepada tonggak negara.

NA'IM MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar menyambut baik komitmen Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk merombak semula video promosi Tahun Melawat Malaysia 2026. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Komitmen Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) untuk merombak semula video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 adalah wajar dan tepat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar.

Na’im berkata ia mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan yang meletakkan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan selain kemajmukan masyarakat di negara ini.

“Selain itu, seperti mana semua sedia maklum, institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada Malaysia,” katanya yang menyambut baik komitmen Menteri Motac Tiong King Sing.

Semalam, Tiong berkata video promosi TMM 2026 akan dibuat semula dengan lebih terperinci bagi mempromosi setiap negeri, dan dijangka dapat disiarkan dalam tempoh seminggu.

Beliau berkata Motac dan agensi yang berkaitan diminta menghasilkan video-video promosi, dan membahagikan promosi negeri mengikut zon, memandangkan beliau tidak berpuas hati dengan hasil akhir video yang ditunjukkan kepadanya.

Sejak montaj TMM 2026 tersebar, Motac khususnya Tiong menerima kritikan pelbagai pihak yang menggesa video berkenaan ditarik semula kerana didakwa tiada elemen masjid dipaparkan sedangkan terdapat visual rumah ibadat lain seperti gereja dan kuil.

Na’im menambah usaha memperkukuh dan memartabat syiar Islam menjadi keutamaan kerajaan, dan sedang giat dilaksanakan oleh kementeriannya melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah.

“Semua pihak adalah diseru untuk bersama-sama mengambil inisiatif memperkukuh perpaduan demi menjayakan agenda memajukan negara,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.