‘Tunggang’ isu Najib, Mujahid dakwa PAS tak layak jadi ‘role model’ pejuang Islam

‘Tunggang’ isu Najib, Mujahid dakwa PAS tak layak jadi ‘role model’ pejuang Islam

Timbalan Presidennya, Mujahid Yusof Rawa berkata Amanah kesal dengan tindakan PAS menyertai Perhimpunan Solidariti Najib yang dijadikan medan memburukkan kerajaan.

penyokong pas
Mujahid Yusof Rawa mendakwa PAS mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Amanah berkata PAS tidak layak menjadi ‘role model’ parti yang memperjuangkan Islam dan Melayu kerana didakwa menunggang isu adendum tambahan tahanan rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak.

Timbalan Presidennya Mujahid Yusof Rawa berkata PAS menyertai perhimpunan untuk Najib di Istana Kehakiman, Putrajaya, Isnin lalu hanya untuk memburukkan serta memfitnah kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Laungan dan retorik Islam PAS hanyalah ibarat tin kosong kerana hakikatnya perhimpunan tersebut semata-mata bertujuan untuk meraih sokongan melalui pendekatan politik murahan.

“Sebagai parti Islam, PAS mengamalkan politik Machiavelli, iaitu matlamat menghalalkan cara yang kononnya ditentang selama ini,” katanya dalam kenyataan.

Mujahid Yusof Rawa
Mujahid Yusof Rawa.

Dakwanya, PAS cuba menutup kelemahannya dengan menyertai himpunan itu walaupun mereka antara yang paling kuat membidas Najib ketika isu 1MDB meletus.

“Sungguhpun ketua polis negara telah mengarahkan perhimpunan itu dibatalkan, PAS tetap meneruskannya demi mencapai matlamat dan kepentingan politik sempit dan bersifat peribadi,” katanya.

“Oleh itu, PAS tidak layak menjadi ‘role model’ parti memperjuangkan Islam, jauh sekali perjuangan Melayu,” katanya.

Isnin lalu, pemimpin dan ahli PAS antara 3,000 orang menyertai himpunan di Putrajaya untuk mengikuti prosiding Mahkamah Rayuan berkait semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkan Najib menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.

Sebelum itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dalam surat dalaman kepada parti membuat seruan kehadiran ahlinya bagi menunjukkan solidariti bersama bekas perdana menteri dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung titah adendum Yang di-Pertuan Agong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.