Saya tak hantar nota ‘terima kasih’ kepada Raja Abdullah, Najib beritahu mahkamah

Saya tak hantar nota ‘terima kasih’ kepada Raja Abdullah, Najib beritahu mahkamah

Bekas perdana menteri itu berkata, surat-menyurat sedemikian perlu melalui Wisma Putra.

najib
Najib Razak sedang dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.
PUTRAJAYA:
Najib Razak hari ini mengakui beliau tidak menghantar sebarang nota kepada Raja Abdullah atau mana-mana kerabat diraja Arab Saudi untuk mengucapkan terima kasih atas ‘bantuan kewangan’ didakwa diterima daripada mereka.

Bekas perdana menteri itu juga mengesahkan dia menerima USD20 juta pada 2011 daripada ‘Putera Faisal’, yang didakwanya ahli keluarga diraja itu.

Dalam keterangannya ketika pemeriksaan balas perbicaraan 1MDB, Najib berkata, beliau ‘menganggap’ individu tersebut ialah ahli keluarga diraja yang ‘diarahkan’ oleh Raja Abdullah untuk melaksanakan pindahan wang.

“Kerabat diraja (seperti ‘Putera Faisal’) tidak akan bertindak sendiri,” kata Najib ketika ditanya sama ada dia bertanya siapa individu tersebut, memandangkan pindahan itu membabitkan sejumlah wang yang besar.

Apabila ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Kamal Baharin Omar mengapa beliau tidak mengucapkan terima kasih kepada Raja Abdullah atas dana itu, Najib berkata, surat-menyurat sedemikian perlu melalui Wisma Putra.

“Ini perkara sensitif,” tambahnya.

Kamal: Bukankah adat orang Melayu kita untuk berterima kasih kepada seseorang yang memberi atau menyumbang (sesuatu) kepada kita?

Najib: (Bantuan kewangan) ini peribadi bagi saya.

Najib turut memberitahu mahkamah, selepas bertemu dengan Raja Abdullah pada 2010, dia memberitahu ketua setiausaha sulitnya ketika itu, Azlin Alias, akaun bank perlu dibuka untuk menerima dana itu.

Katanya, dia dimaklumkan oleh ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, bahawa bantuan kewangan itu berjumlah kira-kira USD$1 bilion.

“Azlin memperkenalkan Cheah (Tek Kuang) kepada saya,” katanya merujuk bekas pengarah urusan AmBank yang sebelum ini memberi keterangan bagi pihak pendakwaan.

Najib membuka akaun simpanan dan semasa dengan AmBank, yang kedua-duanya ditutup pada 2013. Dia kemudian membuka tiga akaun semasa lain dengan bank itu pada tahun sama.

Najib berkata, dia tidak tahu bagaimana ‘Putera Faisal’ dapat butiran akaun banknya untuk mengirim wang.

“Mungkin Jho Low memberitahunya,” kata bekas perdana menteri itu.

Kamal: Siapa yang beritahu anda tentang dana yang masuk?

Najib: Saya rasa Cheah (yang beritahu).

Perbicaraan diteruskan di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah pada 13 Jan.

Najib dibicarakan atas 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana berjumlah RM2.28 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.