
Mereka merancang mengadakan piket berhubung soalan tidak dijawab mengenai dakwaan kenaikan gaji kepada tiga timbalan setiausaha Suhakam, sistem penilaian prestasi dikatakan berbeza serta dakwaan pengecualian pekerja daripada Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baharu.
“Kami memutuskan menangguh piket selepas Presiden Cuepacs Adnan Mat memaklumkan saya awal pagi ini bahawa mereka (Cuepacs) akan campur tangan dan membangkitkan kebimbangan pekerja kepada Suhakam,” kata Presiden Kesatuan Sementara Suhakam, Elza Nadiah Shaik Sulaiman.
Adnan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi FMT.
Elza ketika bercakap kepada media di luar ibu pejabat Suhakam di Menara TH Perdana, berkata pekerja Suhakam ragu-ragu menyertai piket itu susulan memo dalaman dikeluarkan Setiausaha Suhakam, Altaf Deviyati semalam.
Dalam memo yang dilihat FMT, pekerja diminta tidak menyertai sebarang tindakan yang boleh menjejaskan misi Suhakam atau mengganggu “persekitaran kerja positif”.
Elza berkata, arahan itu menjejaskan usaha penubuhan kesatuan sekerja di Suhakam.
Beberapa pegawai polis hadir di lokasi untuk memantau piket dirancang itu. Turut hadir Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kamarul Baharin Mansor.
Semalam, Persatuan Solidariti Buruh dan Sumber Pembelajaran menggesa campur tangan kerajaan kerana Suhakam memerlukan lebih banyak sokongan belanjawan bagi memastikan pekerja menerima gaji dan faedah sama seperti penjawat awam di bawah SSPA baharu.
Setiausaha Agungnya, Gopal Kishnam Nadesan, turut berkata persatuan itu menyokong penubuhan kesatuan sekerja Suhakam.
Suhakam dalam maklum balasnya berkata, ia masih mengkaji kebolehsesuaian skim emolumen baharu kerajaan.
Menurutnya, ia selaras keseluruhan program penstrukturan organisasinya yang bermula tahun lalu.
Katanya, ia terbuka kepada perbincangan dan “tidak akan goyah dalam komitmen kami untuk memupuk persekitaran kerja positif dan kolaboratif”.