Kerugian akibat jenayah komersial lebih RM3 bilion tahun lepas

Kerugian akibat jenayah komersial lebih RM3 bilion tahun lepas

Jenayah penipuan merupakan kesalahan tertinggi, iaitu 73,240 kes, melibatkan kerugian lebih RM2.45 bilion, kata JSJK Bukit Aman.

Ramli Mohamed Yoosuf
Kes penipuan dalam talian mencatatkan 35,368 kes tahun lepas, membabitkan kerugian RM1.57 bilion, kata Pengarah JSJK Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Jumlah kerugian akibat pelbagai kesalahan jenayah komersial sepanjang tahun lepas mencecah RM3.11 bilion dengan 41,701 kertas siasatan dibuka.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jenayah penipuan merekodkan kesalahan tertinggi, iaitu 73,240 kes, melibatkan kerugian lebih RM2.45 bilion.

Daripada jumlah itu, katanya, kes penipuan dalam talian mencatatkan 35,368 kes membabitkan kerugian RM1.57 bilion.

Sementara itu, kes pecah amanah merekodkan 1,448 kes dengan nilai kerugian (RM546.39 juta); Ah Long 1,060 kes (RM5.29 juta); wang palsu 950 kes (RM1.16 juta); jenayah siber 720 kes (RM32.7 juta); pemalsuan 128 kes (RM10.13 juta); salah guna harta 62 kes (RM66.29 juta); dua kes VCD/DVD; dan 91 lain-lain kes (RM1.6 juta).

“Sebanyak 16,813 kes atau 40% daripada keseluruhan kes yang disiasat telah dituduh di mahkamah manakala bakinya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman.

Ramli berkata, JSJK turut memberikan fokus pada kegiatan pencegahan dengan tujuan memberikan informasi kepada masyarakat berkaitan ancaman jenayah komersial serta modus operandi terkini ‘scammer’.

“JSJK melaksanakan sebanyak 10,406 kegiatan pencegahan yang merangkumi pelbagai kempen, pameran, ceramah, kolaborasi media dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ramli berkata, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina hujung bulan ini, pihaknya menerima maklumat berhubung kebimbangan orang ramai mengenai laman web palsu menjual barangan serta taktik memancing data (‘phishing’) yang boleh mengakibatkan kerugian.

Katanya, pihaknya merekodkan 1,812 kes melibatkan kerugian lebih RM65 juta tahun lepas membabitkan taktik ‘phishing’ yang merupakan jenayah e-kewangan.

“Saya nasihatkan pengguna telefon bimbit untuk tidak menekan sebarang pautan yang diterima dan dapatkan pengesahan melalui panggilan telefon atau video bagi menentukan mesej diterima benar-benar tulen,” katanya.

“Kita juga perlu tahu pelbagai kaedah dan teknik yang digunakan seperti perdayaan dan fail APK malah Al (kecerdasan buatan) adalah untuk tujuan penipuan. Kita perlu sentiasa peka tentang keadaan ini dan perlu berwaspada atau bersikap skeptikal dalam menerima mesej atau panggilan.”

Ramli berkata, mengenai isu pembelian secara dalam talian, orang ramai diingatkan untuk membuat pembelian melalui platform yang sah dan dipercayai bagi mengelakkan ditipu dan menjadi mangsa penipuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.