Kertas siasatan kes bunuh remaja 15 tahun dirujuk kepada pendakwa raya

Kertas siasatan kes bunuh remaja 15 tahun dirujuk kepada pendakwa raya

Kertas siasatan kes Yap Xin Yuan itu telah dirujuk semalam dan terdapat arahan lanjut untuk dilengkapkan, kata polis Kajang.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan akan dirujuk semula kepada Pejabat Pendakwa Raya Selangor setelah arahan berkaitan diambil tindakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kertas siasatan kes bunuh remaja berusia 15 tahun yang mayatnya ditemukan di Kuala Langat pada 28 Dis lepas telah dirujuk kepada Pejabat Pendakwa Raya Selangor, menurut polis.

Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof berkata, kertas siasatan kes Yap Xin Yuan itu dirujuk semalam dan terdapat arahan lanjut untuk dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dirujuk semula setelah arahan yang berkaitan diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

“Segala tindakan melalui proses undang-undang sedang dijalankan dengan teliti untuk memastikan keadilan terjamin.”

Dalam pada itu, Naazron memaklumkan, seorang suspek yang sebelum ini ditahan berhubung kes tersebut telah dibebaskan sebagai saksi pendakwaan.

Katanya, suspek berusia 51 tahun itu ditahan sejak 30 Dis bersama dua lagi suspek lain berusia 16 dan 20 tahun.

“Dua lagi suspek kes itu diberikan jaminan dengan diikat bon di bawah Seksyen 49 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Terdahulu dilaporkan tiga suspek kes itu, termasuk teman lelaki Yap, direman kali pertama bermula 31 Dis hingga 5 Jan lepas, seterusnya disambung hingga hari ini.

Polis menumpukan aspek perselisihan faham dan pengambilan dadah berlebihan dalam siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu bagi mengenal pasti motif.

Yap sebelum itu dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas menghadiri latihan tarian singa di sebuah gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras, pada 19 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.