
Nilai tersebut menjadi teras kepada operasinya, merangkumi semua aspek operasi syarikat serta vendor yang bekerjasama dengan pengendali lebuh raya ini. Prolintas adalah konsesi lebuh raya pertama yang melaksanakan rangkaian dasar integriti yang menyeluruh.
Memupuk pendekatan beretika
Sebagai sebahagian daripada komitmennya untuk mengekalkan standard etika, Prolintas menganjurkan Hari Integriti tahunan pada November, dengan tema ‘Kemajuan Mampan, Amalan Beretika: Mengintegrasikan Integriti ke dalam DNA Korporat’.
Melalui Hari Integriti 2024, konsesi lebuh raya itu mengukuhkan sifar toleransi terhadap rasuah dan meraikan prinsip integriti yang menjadi asas kepada operasinya.
“Melalui Hari Integriti tahunan, kami berharap dapat memupuk persekitaran di mana setiap ahli keluarga Prolintas mengamalkan tingkah laku beretika sebagai nilai bersama dan bukannya sekadar polisi,” kata Pengerusi Prolintas Idris Kechot dalam ucapan aluannya.
“Integriti adalah asas kepada pertumbuhan mampan, ketahanan dan kepercayaan awam yang menjadi penentu kejayaan berterusan Prolintas,” katanya.
Penceramah jemputan termasuk Ahli Lembaga Pengarah Prasarana Malaysia Bhd Mustafar Ali, Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Akhbar Satar, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Hubungan vendor yang beretika adalah penentu
Oktober lalu, Prolintas menganjurkan Program Integriti Vendor (VIP) sulungnya dengan tema ‘Bekerjasama untuk Integriti, Menyampaikan dengan Kepercayaan’. Program ini menghimpunkan pemimpin industri, rakan perniagaan, dan penyedia perkhidmatan pihak ketiga untuk berkongsi pandangan dan meningkatkan perbincangan mengenai integriti.
“Kejayaan kami ditentukan oleh hasil yang kami capai dan cara kami melakukannya. Kami mengambil serius tingkah laku beretika dan oleh itu, tatakelakuan vendor kami adalah penting bagi kami,” kata Pengarah Eksekutif Prolintas, Idros Mosin.
Peserta VIP termasuk badan pensijilan Sirim QAS International Sdn Bhd, peruncit tekstil Jakel Trading Sdn Bhd, firma guaman Azmi & Associates, dan syarikat pengiklanan Big Tree Outdoor Sdn Bhd.
Pada 2018, Prolintas memperkenalkan Kod Tatakelakuan Pembekal untuk memastikan vendor memahami tanggungjawab etika mereka. Kod ini diperkuat dengan Perjanjian Integriti, yang perlu ditandatangani setiap vendor sebagai komitmen untuk menegakkan nilai tersebut.
Perjanjian itu selaras Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dan memastikan vendor mematuhi langkah-langkah antirasuah yang ketat serta menegakkan piawaian etika dalam semua urusan dengan Prolintas.
Sebagai langkah seterusnya, Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Prolintas akan mewajibkan semua vendor mengemukakan dasar antirasuah mereka sebagai sebahagian proses penilaian, menetapkan penanda aras bagi amalan terbaik dalam industri.
Walaupun selepas pemilihan, vendor dinilai berdasarkan piawaian yang tinggi melalui audit berterusan dan semakan prestasi bagi memastikan pematuhan pada setiap peringkat.
“Vendor mesti mengekalkan tahap integriti, ketelusan, dan keadilan yang tertinggi dalam semua interaksi perniagaan, memastikan tingkah laku etika pada setiap peringkat proses,” kata Idros.
Pengiktirafan tempatan dan antarabangsa
Prolintas telah memperoleh pensijilan antarabangsa ISO 37001:2016 bagi Sistem Pengurusan Antirasuah (ABMS) untuk semua lapan anak syarikatnya.
Pensijilan ini membolehkan Prolintas melaksanakan langkah untuk mencegah, mengesan, dan bertindak balas terhadap rasuah, memastikan pematuhan terhadap undang-undang antirasuah, dan mempromosikan amalan perniagaan beretika.
Prolintas juga muncul sebagai syarikat pengendali lebuh raya pertama di Malaysia memperoleh pensijilan penuh ABMS.
Syarikat ini juga mengamalkan pematuhan antirasuah, polisi tiada hadiah dan beberapa dasar lain bertujuan untuk menghapuskan sebarang potensi amalan rasuah. Sehingga kini, Prolintas membangunkan 15 dasar berkaitan kawalan antirasuah.
Dasar pemberi maklumat Prolintas meningkatkan tahap ketelusan dengan membenarkan pihak berkepentingan dalaman dan luaran melaporkan sebarang pelanggaran secara langsung kepada jawatankuasa audit lembaga pengarahnya. Langkah ini memastikan isu ditangani dengan cepat dan adil.
“Melalui inisiatif ini, Prolintas menerima Anugerah Emas untuk Integriti, Governans dan Antirasuah daripada Institut Integriti Malaysia, yang menunjukkan dedikasi kami terhadap piawaian tinggi dalam integriti dan tadbir urus,” kata Idros.
Dengan inisiatif tadbir urus baharu dalam perancangan, termasuk Kod Etika Perniagaan dan Tatakelakuan dikemas kini serta Kod Tatakelakuan Pembekal yang dijadual dilancarkan pada awal 2025, Prolintas menyasarkan untuk terus berada di hadapan dalam aspek integriti.