Pihak berkuasa perlu urus ujian urin di konsert, kata penganjur

Pihak berkuasa perlu urus ujian urin di konsert, kata penganjur

CEO LOL Asia Rizal Kamal berkata isu utamanya bukan kos, tetapi memastikan kakitangan yang terlatih untuk melaksanakan protokol ujian dengan betul.

pinkfish festival fb
Polis berkata lebih 14,000 pengunjung menghadiri konsert ambang tahun baharu Pinkfish baru-baru ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ujian air kencing di konsert sepatutnya dijalankan oleh pihak berkuasa, kata penganjur acara susulan penjelasan kerajaan Selangor bahawa ujian yang dicadangkan itu hanya dikenakan terhadap individu yang mencurigakan.

Menyambut baik pendekatan yang lebih praktikal itu, CEO LOL Asia Rizal Kamal berkata penganjur tidak memiliki kepakaran dan kuasa untuk menguruskan prosedur seperti itu.

“Ia perlu dijalankan oleh pihak berkuasa, terutamanya pihak yang terlibat dalam penguatkuasaan dadah,” katanya kepada FMT.

“Cadangan kami adalah memastikan pasukan narkotik bersedia di acara yang berisiko tinggi bagi menjalankan ujian air kencing dan tugas-tugas berkaitan,” tambahnya.

Rizal berkata isu utamanya bukanlah kos, tetapi memastikan kakitangan yang terlatih tersedia untuk melaksanakan protokol dengan betul.

“Jika keputusan ujian air kencing positif, tindakan apa yang boleh diambil oleh penganjur? Bagaimana kita memastikan prosedur dijalankan dengan cara yang betul?” katanya.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Ng Suee Lim baru-baru ini berkata kerajaan negeri tidak menolak menguatkuasakan saringan air kencing ke atas pengunjung menjadi sebahagian SOP penganjuran konsert.

Ia susulan kematian empat pengunjung di konsert sambutan tahun baharu Pinkfish baru-baru ini yang dikaitkan dengan penggunaan dadah.

Ng kemudiannya menjelaskan bahawa syor ujian air kencing sebelum masuk ke konsert itu hanya dilaksanakan kepada individu yang menimbulkan syak.

Bagaimanapun, CEO Livescape, Iqbal Ameer, mempersoalkan bagaimana ujian sebelum kemasukan dapat menyelesaikan masalah penyalahgunaan dadah di lokasi konsert.

Beliau berkata, langkah seperti kempen pendidikan awam mengenai hukuman dan kesan dadah serta penempatan anggota keselamatan serta polis yang terlatih tetap diperlukan semasa acara berlangsung.

“Penyelesaian ini adalah mudah dan boleh dicapai dengan kerjasama secara langsung dengan penganjur acara.

“Keselamatan harus menjadi tanggungjawab bersama, bukan beban tambahan kepada satu pihak sahaja,” katanya.

Iqbal turut menyeru kerjasama yang telus dan secara berkala antara badan kerajaan serta sektor swasta bagi memastikan matlamat keselamatan konsert dicapai bersama.

“Apa yang diperlukan adalah keyakinan dalam kerjasama yang mengutamakan keselamatan, sambil membolehkan industri ini terus berkembang, bukannya ancaman kehilangan mata pencarian kami,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.