Perlu labur lebih banyak untuk langkah pencegahan, kata Dzulkefly

Perlu labur lebih banyak untuk langkah pencegahan, kata Dzulkefly

Walaupun negara capai kemajuan dalam menyediakan perlindungan kesihatan sejagat dan kewangan, akses kepada penjagaan kesihatan semata-mata tidak memadai.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad tekan keperluan kerajaan beri tumpuan terhadap penentu sosial kesihatan bagi mewujudkan populasi yang lebih sihat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menekankan keperluan kerajaan meningkatkan pelaburan bagi langkah pencegahan dan memberi tumpuan terhadap penentu sosial kesihatan (SDH) bagi mewujudkan populasi yang lebih sihat.

Beliau berkata dasar seperti kempen perang terhadap rokok, perangi pengambilan garam dan perangi pengambilan gula, di samping intervensi awal kanak-kanak dan Agenda Nasional Malaysia Sihat adalah penting untuk meningkatkan keberhasilan kesihatan awam.

Dzulkefly berharap Malaysia terus memberi keutamaan kepada langkah-langkah pencegahan terbabit, sambil menjelaskan walaupun negara mencapai kemajuan dalam menyediakan perlindungan kesihatan sejagat dan kewangan, akses kepada penjagaan kesihatan semata-mata tidak memadai.

“Kesihatan bukan hanya berkaitan dengan penjagaan kesihatan, tetapi juga melibatkan peluang, martabat dan keselamatan ekonomi. Kita perlu beralih kepada pencegahan, intervensi awal dan menangani punca utama seperti ketidakjaminan makanan, gaya hidup tidak sihat dan ketidaksamaan sosial,” katanya pada sesi forum ‘Multidimensional Poverty and Inclusive Future’ di Forum Ekonomi Malaysia 2025.

Beliau berkata keberhasilan kesihatan amat dipengaruhi oleh keadaan hidup individu termasuk tempat mereka tinggal, membesar, belajar, bekerja dan menua yang semuanya memainkan peranan penting dalam menentukan hasil kesihatan dalam populasi.

Dzulkefly turut menekankan kepentingan SDH, yang merangkumi faktor seperti perumahan, pendidikan, pekerjaan, pendapatan, akses kepada makanan berkhasiat, dan peluang untuk melakukan aktiviti fizikal.

“Kita perlu memahami bahawa diakui secara meluas SDH memainkan peranan besar dalam menentukan hasil kesihatan, dengan anggaran sekitar 80% daripada keberhasilan kesihatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.