
Hasbullah Adam, 36, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurkhalida Farhana Abu Bakar, lapor Berita Harian.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, Hasbullah didakwa membunuh Shakirin Mohammad, 28, yang juga pemandu lori di antara jam 6.10 pagi pada 26 Dis hingga jam 1.50 tengah hari 28 Dis lalu di tepi Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing.
Dia dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara di antara 30 hingga 40 tahun dengan sebatan minimum 12 kali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Foo Fang Leong, manakala tertuduh diwakili peguam, Azlan Bohari.
Nurkhalida kemudiannya menetapkan 27 Feb sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan laporan kimia, forensik dan laporan bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan, mayat lelaki tempatan berusia 28 tahun itu dengan kesan kecederaan di leher ditemui dalam but kereta milik mangsa pada 28 Dis lalu.