Kerajaan perluas tabika Kemas autistik ke seluruh negara, kata TPM

Kerajaan perluas tabika Kemas autistik ke seluruh negara, kata TPM

Zahid Hamidi berkata langkah itu bagi memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak memerlukan perhatian khas.

kanak-kanak autistik
Zahid Hamidi berkata penyediaaan tabika Kemas autistik dapat bantu bina masyarakat lebih inklusif dan sejahtera.
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju memperluaskan taman bimbingan kanak-kanak (tabika) kendalian Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) untuk kanak-kanak autistik ke seluruh negara pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Menteri kemajuan desa dan wilayah itu berkata langkah terbabit sebahagian usaha strategik Kemas memperluas akses pendidikan inklusif kepada kanak-kanak memerlukan perhatian khas sekali gus
menyokong agenda membina masyarakat lebih inklusif dan sejahtera.

“Kita dalam proses pelaksanaan tabika berkeperluan khas atau tabika autistik yang akan mula beroperasi di Melaka tahun ini.

“Saya mahu ia diperluas ke seluruh negara,” katanya pada program pemerkasaan masyarakat Madani Kemas.

Menurut Zahid, inisiatif itu juga antara lima cadangan Kemas bagi mencipta lebih banyak inisiatif berimpak tinggi pada masa depan.

Cadangan lain termasuk pelan transformasi digital; pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), memperkasa ekonomi keusahawanan warga desa dan memperkemas tadbir urus Kemas.

Sementara itu, Zahid turut mengarahkan Kemas mengemukakan cadangan skim perjawatan baharu di bawahnya bagi menyelesaikan isu 9,719 kakitangan berstatus kontrak.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kemas Hanafiah Man berkata tambah baik perjawatan agensi terbabit sedang dilaksanakan bagi membolehkan pergerakan gred dari S1 sehingga ke S4 serta S5 yang boleh dinaikkan ke gres S8.

Turut dicadangkan tempoh jawatan sementara kontrak ke tetap (JSKT) dipendekkan kepada 10 tahun daripada 15 tahun.

Untuk rekod, seramai 9,719 kakitangan Kemas berstatus kontrak dengan 1,072 orang berada dalam Gred S1 atau S19 sebelum ini, 191 Gred S2 atau S22 dan 8,458 orang berada dalam Gred S5 atau S29.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.