
Beliau berkata, keputusan itu akan menentukan kriteria kelayakan dan mekanisme pelaksanaan, dengan matlamat memastikan subsidi diberikan kepada isi rumah benar-benar layak.
“Kerajaan sedang melalui proses dalaman untuk memuktamadkan perkara itu. Dalam beberapa minggu lagi, kerajaan akan membuat keputusan terhadap cadangan Kementerian Ekonomi,” katanya di luar Forum Ekonomi Malaysia.
Kementerian Ekonomi mencadangkan mengubah pengkelasan B40, M40, dan T20 kepada sistem berdasarkan pendapatan boleh guna bersih isi rumah untuk pemberian subsidi.
Selepas keputusan dibuat oleh Jemaah Menteri, kerajaan akan mula mengenal pasti penerima yang layak menerima subsidi, katanya.
“Apabila mendapat ‘lampu hijau’ Jemaah Menteri, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memaklumkan kepada umum secepat mungkin,” katanya.
Ketika berucap dalam forum itu, Rafizi berkata Putrajaya akan menggunakan pangkalan data Padu, yang mengandungi maklumat 21 juta rakyat Malaysia, untuk menyasarkan pemberian subsidi petrol RON95.
Beliau menjelaskan, Padu adalah pangkalan data paling komprehensif milik kerajaan dan baru-baru ini dibuka semula untuk pendaftaran baharu bagi memastikan tiada yang tercicir.
Penyasaran subsidi RON95 adalah sebahagian strategi kerajaan untuk mengurangkan ketirisan dan meningkatkan keberkesanan perbelanjaan kerajaan.