
Ketua Polis Petaling Jaya, Shahrulnizam Ja’afar, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di tempat kejadian tidak lama selepas insiden.
Katanya, sebelum itu polis menerima aduan berkaitan kejadian pada 11 malam tadi.
“Kejadian berlaku di ruang legar aras satu sebuah hotel di Petaling Jaya. Lelaki terbabit (suspek) berjaya ditahan di tempat kejadian oleh pihak polis. Polis turut merampas sebuah kamera yang digunakan dalam serangan itu,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan dua pereka fesyen, Razman dan Razmi cedera di muka selepas diserang jurugambar dalam kejadian di acara anugerah yang berlangsung di sebuah hotel.
Dalam kejadian 8.40 malam, kedua-duanya dikenali sebagai pereka fesyen duo, Razman Razmi yang juga pereka fesyen menghasilkan busana usahawan sensasi Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida untuk acara itu, dipukul dengan kamera oleh jurugambar terbabit.
Kejadian berlaku ketika wartawan sedang menemubual Vida sebelum jurugambar terbabit bertindak agresif dengan menyerang dan memukul mereka dengan kamera miliknya.
Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata kedua-dua pereka fesyen, masing-masing berusia 47 dan 53 tahun mengalami kecederaan pada pipi.
“Insiden ini dipercayai berpunca daripada isu peribadi antara suspek dan kedua-dua mangsa. Suspek direman dua hari hingga esok untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.
Beliau berkata, kertas siasatan lengkap sudah dirujuk kepada pihak timbalan pendakwa raya dan sudah mendapat arahan untuk suspek dituduh di Mahkamah Petaling Jaya, esok.