
Mula memegang jawatan itu Disember lalu, Hilman turut meminta Wan Meor yang menjadi setiausaha kerja Pemuda Bersatu di era pentadbiran Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengepalai sayap terbabit supaya menyerahkan segala dokumen pentadbiran.
“Tak perlu sembang dan nak ajar orang lain soal pentadbiran. Sebagai mantan setiausaha kerja (Pemuda Bersatu) serahkan dulu semua dokumen ‘pentadbiran’ dan ‘pengurusan’.
“Pemilihan dan penggal kamu dah habis, serah kepada kepimpinan baharu,” katanya kepada FMT sambil meminta Wan Meor membangkitkan masalah dalam mesyuarat.
“Jangan menikus dan jadi langau di luar. Saya tiada masa nak main politik, saya nak bekerja.”
Hilman yang juga Adun Gombak Setia mengulas kenyataan Wan Meor yang mendakwa pengurusan sayap itu di bawahnya di luar dari kebiasaan dan tidak menggambarkan amalan pentadbiran baik yang berisiko menggugat strukturnya.
Beliau turut meletakkan jawatan ketua biro profesional dan sukarelawan Bersatu pada 5 Jan lalu namun mengekalkan jawatan sebagai exco Pemuda tanpa portfolio.
Menurut Wan Meor, tindakan itu disebabkan perbezaan pendiriannya dengan Hilman kerana jawatan yang disandangnya iaitu ketua biro profesional dan sukarelawan bersifat lantikan oleh Hilman pada Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu November lalu.
Menurutnya, jawatan exco Pemuda pula adalah jawatan dipilih majoriti perwakilan di peringkat bahagian dan cawangan.
Beliau bagaimanapun akan terus menjalankan peranan dan tugas sebagai exco tanpa portfolio dengan fokus memberdayakan dan memaksimumkan potensi, tenaga dan bakat ahli-ahli sayap Pemuda.