‘Tiada komen’, kata peguam negara berkait adendum Najib

‘Tiada komen’, kata peguam negara berkait adendum Najib

Bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh, turut hadir pada acara pembukaan Tahun Perundangan tetapi mengelak daripada berjumpa dengan wartawan.

MOHD DUSUKI MOKHTAR - AG - PICC
Peguam Negara Dusuki Mokhtar enggan memberi komen berkaitan soalan adakah Pejabat Peguam Negara menerima perintah adendum tahanan rumah untuk Najib Razak.
PUTRAJAYA:
Peguam Negara Dusuki Mokhtar enggan mengulas mengenai dakwaan bahawa Jabatan Peguam Negara menerima perintah adendum tahanan rumah untuk bekas perdana menteri Najib Razak.

“Saya tidak mahu komen,” katanya ringkas kepada pemberita di luar majlis pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Pada Isnin, peguam Najib, Shafee Abdullah, memberitahu Mahkamah Rayuan bahawa perintah adendum tahanan rumah tersebut dihantar istana kepada peguam negara ketika itu, Ahmad Terrirudin Salleh, pada 29 Jan 2024.

Terrirudin, yang dilantik sebagai hakim Mahkamah Persekutuan pada November lalu, turut hadir di majlis tersebut tetapi mengelak daripada berjumpa dengan wartawan.

Pada Isnin, Najib memperoleh kebenaran Mahkamah Rayuan untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa Putrajaya melaksanakan perintah adendum yang dikeluarkan oleh Agong terdahulu yang membenarkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Dalam keputusan majoriti, Hakim Firuz Jaffril menyatakan bahawa Najib menulis kepada enam daripada tujuh responden yang dinamakan dalam rayuan bagi mengesahkan kewujudan adendum tersebut, namun tidak menerima sebarang jawapan daripada mereka.

Enam responden itu ialah menteri dalam negeri, komisioner jeneral penjara, peguam negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (undang-undang dan reformasi institusi), dan ketua pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.

Firuz berkata, bahawa Najib telah, selepas keputusan Mahkamah Tinggi pada Julai, memperoleh salinan titah adendum daripada Sultan Pahang, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Lembaga pengampunan pada 2 Feb tahun lalu mengumumkan bahawa hukuman penjara Najib dalam kes SRC International dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Bekas perdana menteri itu kini sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang.

Dalam permohonan kebenaran yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 1 April, Najib mendakwa bahawa Agong terdahulu, semasa mesyuarat lembaga pengampunan pada 29 Jan, turut mengeluarkan perintah tambahan yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Beliau berkata lembaga pengampunan gagal mengumumkan terma perintah tambahan itu, dan mendakwa kerajaan menghina mahkamah kerana tidak mematuhi perintah tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.