PAS, Bersatu ‘celaru’ soal titah adendum Najib, dakwa Puad

PAS, Bersatu ‘celaru’ soal titah adendum Najib, dakwa Puad

Puad Zarkashi berkata Muhyiddin Yassin harus bantah penganjuran himpunan itu sekiranya mendukung prinsip menolak salah guna kuasa dan rasuah.

Muhyiddin-Yassin-Hadi-Awang
Puad Zarkashi berkata hujah Muhyiddin Yassin dan Hadi Awang tidak hadir ke himpunan menyokong Najib Razak kerana mengekalkan prinsip antirasuah sebagai ‘memualkan’.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mendakwa PAS dan Bersatu ‘bercelaru’ untuk manipulasi isu titah adendum berkait tahanan rumah bekas perdana menteri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Puad Zarkashi berkata hujah bahawa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan Presiden PAS Hadi Awang tidak hadir ke himpunan menyokong Najib, Isnin lalu kerana mengekalkan prinsip antirasuah sebagai ‘memualkan’.

“Mengarut. Kalau berprinsip Muhyiddin patut membantah PAS untuk menganjurkan perhimpunan. Selain tidak boleh kawal PAS dia rasa malu untuk hadir.

“Sebab itu PAS dan Bersatu bercelaru untuk manipulasi isu titah adendum. Tidak ada keikhlasan,” katanya di Facebook.

Puad juga mempersoalkan ‘pendirian’ Muhyiddin itu kerana beliau juga berdepan dengan tuduhan rasuah berkait program Jana Wibawa di mahkamah.

Semalam, Setiausaha Bersatu Wilayah Persekutuan, Mahathir Rais berkata ketiadaan Muhyiddin dan Hadi dalam himpunan di Istana Kehakiman Putrajaya Isnin lalu membuktikan Perikatan Nasional (PN) kekal dengan prinsip menolak salah guna kuasa serta rasuah.

Mahathir berkata penglibatan komponen PN menyertai himpunan itu lebih kepada mengekalkan pendirian yang selari dengan prinsip perjuangan gabungan.

Antara pemimpin PN yang hadir ke himpunan itu adalah Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Wan Fayhsal dilaporkan berkata kehadiran pemimpin pembangkang dalam solidariti Najib tidak bermakna PN akan menukar pendirian berkait skandal 1MDB.

Beliau berkata, parti itu masih mendesak akauntabiliti dalam skandal yang digambarkan sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia setakat ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.