
Presiden Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA), Dr Andrew Mohanraj, berkata penyakit mental sering dilihat sebagai suatu kelemahan, ketidaksempurnaan dan berpotensi membahayakan diri serta orang lain.
Katanya, oleh itu tanggapan berkenaan menyumbang kepada diskriminasi dan pengelakan oleh pesakit mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Walaupun sesetengah penyakit mental dikaitkan untuk memberi risiko pada diri sendiri, seperti mencedera atau membunuh diri, mereka juga dikaitkan dengan risiko terhadap orang lain, contohnya tingkah laku agresif.
“Tetapi, perlu dinyatakan sebahagian besar individu dengan penyakit mental sebenarnya tidak berbahaya dan lebih berkemungkinan menjadi mangsa keganasan dan bukannya pelaku,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata masalah kesihatan mental melibatkan kumpulan umur kanak-kanak, remaja serta belia meningkat dua kali ganda.
Katanya, berdasarkan Laporan Tinjauan Kesihatan Morbiditi Kebangsaan (NHMS), ia mengalami peningkatan daripada 7.9% (424,000 orang) pada 2019 kepada 16.5% (922,318 orang) pada 2023.
Sementara itu, pesakit dengan gangguan kemurungan utama (major depressive disorder) hanya mahu dikenali Ainor, berkata ketika didiagnosis pada usia 21 tahun, dia tidak boleh menerima kenyataan menghidap penyakit tersebut.
Katanya, ia terlalu berat untuk ditanggung dan bimbang dengan penerimaan keluarga serta rakan.
“Kalau boleh saya hendak menidakkan ada penyakit itu…sebab ketika itu saya rasa macam tak normal, tak macam orang lain. Mungkin orang lain akan pandang rendah terhadap saya,” kata pelajar universiti awam berusia 22 tahun itu.
Anak kedua daripada tujuh beradik berkata, masalah kesihatan mentalnya bermula sejak usia 11 tahun akibat penderaan fizikal dan mental daripada ibu dan kakaknya.
“Saya tetap dipukul walaupun kesalahan yang jelas bukan saya lakukan. Ini menyebabkan saya tertekan,” katanya.
Ainor mendedahkan pernah mencederakan dirinya dengan memukul anggota badan, menarik rambut dan berlapar selama lima hari selain berkeinginan membunuh diri jika berseorangan.
Enggan membiarkan keadaannya melarat, Ainor kini dalam proses pemulihan dan aktif mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Shah Alam yang memerlukannya melakukan pemeriksaan setiap bulan.