Miliki penerbitan Al-Arqam, 2 individu terkait GISBH kemuka representasi

Miliki penerbitan Al-Arqam, 2 individu terkait GISBH kemuka representasi

Wanita warga emas dan seorang usahawan masing-masing didakwa memiliki 38 dan dua penerbitan larangan.

gisb
Mahkamah menetapkan 19 Feb bagi mengetahui status permohonan representasi Aishah Bula Tajudin, 61, dan Mohammad Nazif Jamluddin, 50. (Gambar EPA Images)
KUALA LUMPUR:
Wanita warga emas yang juga ahli Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan seorang usahawan disyaki ahli akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung pertuduhan memiliki hasil penerbitan larangan berkaitan Al-Arqam, September tahun lalu.

Peguam Boestamam Ahmad, mewakili Aishah Bula Tajudin, 61, dan Mohammad Nazif Jamluddin, 50, memaklumkan perkara itu ketika sebutan kes berkenaan di dua Mahkamah Majistret.

Dalam kes Aishah yang disebut di hadapan Majistret Farah Nabihah Mohammad Dan, Boestamam memaklumkan representasi itu akan difailkan dalam tempoh terdekat selepas meneliti dokumen berkaitan kes diperoleh daripada pendakwaan.

Bagaimanapun, beliau berkata anak guamnya tidak dapat hadir ke mahkamah dan memohon kehadirannya dikecualikan pada sebutan kes akan datang kerana masih tertekan dengan pemergian suaminya yang meninggal dunia, pada Disember lalu.

“Tertuduh memohon maaf kepada mahkamah ekoran tidak dapat hadir pada hari ini. Beliau masih tertekan dengan kematian suaminya pada 18 Dis. Sebelum ini, suami tertuduh yang mencari nafkah untuk keluarganya,” kata peguam itu.

Sementara itu, di hadapan Majistret S Mageswary, Boestamam yang turut mewakili Nazif memohon perkara sama atas alasan serupa.

“Kami baru menerima dokumen berhubung kes ini pada tarikh lepas dan kami juga diarahkan untuk mengemukakan representasi bagi kes ini. Tertuduh (Nazif) hanya tukang masak yang buat katering di tempat kejadian (Ekhwan Catering). Jadi, representasi akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi menjelaskan perkara itu,” katanya.

Selepas mendengar hujahan peguam, Mageswary dan Farah Nabihah menetapkan 19 Feb bagi mengetahui status permohonan representasi kedua-dua tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Aishah didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan berkaitan al-Arqam antaranya Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya Syeikh Imam Ashaari Muhammad at-Tamimi, Khutbah Aidilfitri 1413 Hijrah, Siri Terkini Era kasih Sayang “Abuya Pemimpin Kasih Sayang”, dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya, tanpa sebab munasabah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Kampung Sungai Penchala, Brickfields, pada 11.30 pagi, 21 Sept mengikut Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, jika sabit kesalahan.

Nazif pula didakwa memiliki dua hasil penerbitan larangan berkaitan al-Arqam, iaitu Perang Teluk Islam akan Kembali Gemilang dan Meruntuh Berhala di Tiongkok di Ekhwan Catering, Kampung Sungai Penchala di Brickfields, pada 10.30 pagi, tarikh sama mengikut akta dan hukuman serupa seperti Aishah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulhilmi Latif dan Amritpreet Kaur Randhawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.