Badan Peguam dipinggir dalam proses gubal undang-undang, dakwa presiden

Badan Peguam dipinggir dalam proses gubal undang-undang, dakwa presiden

Ezri Abdul Wahab berkata pihaknya tidak dibawa runding dalam beberapa undang-undang penting walaupun ada jumlah ahli lebih 24,000 dengan pelbagai kepakaran.

Ezri Abdul Wahab
Presiden Badan Peguam Ezri Abdul Waha dakwa ada usaha meminggirkan badan itu, sama dengan menafikan input atau dijadikan sebagai rujukan tanpa beri penghargaan sebenar. (Gambar Facebook)
PUTRAJAYA:
Badan Peguam mendakwa dipinggirkan dalam proses penggubalan undang-undang termasuk beberapa undang-undang penting tanpa sebarang perundingan dengan pihaknya.

Presiden, Ezri Abdul Wahab, berkata hal itu berlaku walaupun badan itu mempunyai lebih 24,000 ahli dengan pelbagai kepakaran.

“Kami berada pada kedudukan unik yang mampu membantu membentuk dan memberi nasihat mengenai undang-undang yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Bagaimanapun, kami melihat usaha untuk meminggirkan kami, sama ada dengan menafikan input atau merujuk kepada kami tanpa memberikan penghargaan sebenar kepada pandangan kami.

“Lebih buruk lagi, beberapa undang-undang penting diluluskan tanpa sebarang perundingan dengan kami,” katanya ketika berucap pada majlis pembukaan tahun perundangan 2025.

Ezri juga menyentuh tuduhan mengatakan Badan Peguam bersifat politik, dengan ada pihak mendakwa kenyataan badan itu tidak neutral, sama ada menentang atau menyokong kerajaan memerintah.

Katanya, Badan Peguam ‘kekal teguh dengan misinya, bukan untuk politik tetapi untuk rakyat’.

“Peranan kami bukan hanya untuk mentafsir undang-undang tetapi memperjuang undang-undang yang adil, inklusif dan mencerminkan keperluan masyarakat.

“Mengabaikan suara kami tidak membawa manfaat kepada rakyat, yang mana undang-undang sepatutnya bertujuan untuk melindungi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.