Zahid dapat kebenaran mula prosiding hina mahkamah terhadap Dr M

Zahid dapat kebenaran mula prosiding hina mahkamah terhadap Dr M

Bekas perdana menteri itu didakwa memberi kenyataan berkait kes saman fitnah 'Kutty' pada sidang media awal bulan lalu.

zahid mahathir
Zahid Hamidi memperoleh kebenaran memulakan prosiding itu untuk dikenakan ke atas Dr Mahathir Mohamad oleh Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong.
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Zahid Hamidi memulakan prosiding ke atas Dr Mahathir Mohamad kerana didakwa menghina mahkamah.

Timbalan perdana menteri memperoleh kebenaran itu susulan sidang media diadakan Mahathir pada 5 Dis dengan bekas perdana menteri memberi kenyataan berkait kes saman fitnahnya ke atas Zahid.

Tindakan sivil yang sedang berjalan itu berkaitan dakwaan kad pengenalannya dikatakan membawa nama ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’.

Menurut Malaysiakini, peguam Zahid, Shahrul Fazli Kamarulzaman, berkata Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong memberi kebenaran memulakan prosiding tersebut.

Katanya, pasukan peguam presiden Umno itu akan menyerahkan dokumen prosiding menghina mahkamah kepada peguam Mahathir, dan mahkamah sivil akan menetapkan pengurusan kes berhubung perkara tersebut kemudian.

Selepas dokumen diserahkan, Mahathir akan diberi peluang untuk membela diri terhadap dakwaan berkenaan.

Melalui saman asal, Mahathir mendakwa kenyataan Zahid mengenai kad pengenalannya pada 2017 adalah fitnah kerana ia merupakan langkah politik yang jahat, berniat buruk, dan bohong.

Mahathir mendakwa dakwaan itu bertujuan merosakkan reputasinya sebagai tokoh pembangkang menjelang PRU14, pada 2018.

Plaintif mendakwa kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa dia mengeksploitasi orang Melayu untuk keuntungan politik dan peribadi.

Mahathir juga mendakwa Zahid telah menunjukkan salinan kad pengenalan ‘Kutty’ melalui skrin telefon pintar.

Dalam pernyataan pembelaan, Zahid ketika itu menteri dalam negeri menafikan kenyataan pada 2017 berniat jahat, fitnah, atau merosakkan reputasi awam Mahathir.

Sebaliknya, beliau mendakwa nama pada kad pengenalan itu merujuk kepada individu berdasarkan salinan lama dokumen pengenalan diri.

Dia juga mendakwa tidak mempunyai kawalan ke atas video diterbitkan di platform media selepas kenyataannya dikeluarkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.