
Mohammad Tawfik Yaakub daripada Universiti Malaya berkata kerajaan sekarang bertahan walaupun pelbagai kritikan berbaur politik ditujukan terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim sejak lebih dua tahun lalu.
“Ini bermaksud kritikan yang berbaur politik semata-mata tidak berjaya mempengaruhi kedudukan kerajaan,” katanya kepada FMT.
Mengulas tentang titah adendum, Tawfik berkata semua pihak perlu menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong sekarang.
“Bagi saya Tuanku Sultan Pahang telah melaksanakan tanggungjawab baginda berdasarkan kepada kuasa yang dimiliki oleh baginda selaku Agong berdasarkan konteks demokrasi berparlimen, raja berperlembagaan, dan Perkara 42 Perlembagaan.
“Apabila baginda tamat sebagai Agong pada 31 Jan 2024 maka pada pandangan saya adendum tersebut telah bertukar menjadi akademik. Maka kita perlu menghormati pula kuasa pemerintahan Agong baharu,” katanya.
Semalam, ahli politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah bertanya apakah kesan undang-undang susulan pengesahan bukti berkait titah adendum, dengan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) bahawa permohonan hendaklah ikut tatacara dan saluran yang ditetapkan.
AGC dalam kenyataan 28 Dis lalu berkata ia dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk memaklumkan bahawa permohonan untuk menghabiskan baki tempoh hukuman di rumah hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan mengikut tatacara dan saluran yang telah ditetapkan.
Persoalan itu menyusuli keputusan majoriti sidang tiga hakim Mahkamah Rayuan, yang beri kebenaran kepada bekas perdana menteri Najib Razak untuk memulakan prosiding semakan kehakiman, bagi memaksa kerajaan melaksanakan suatu titah adendum oleh Agong terdahulu, yang membenarkan beliau jalani baki tempoh pemenjaraan bawah tahanan rumah.
Semalam, selepas keputusan mahkamah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan ia tidak terima sebarang arahan mengenai tahanan rumah bagi Najib.
Menterinya Saifuddin Nasution Ismail berkata surat yang diterima Jabatan Penjara daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri pada 2 Feb 2024 tidak menyebut apa-apa mengenai tahanan rumah.
Sementara itu, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia berkata kerajaan ada ruang untuk membuat penjelasan dengan memberikan maklumat sebenar, bagi menjawab gambaran di media sosial.
“Keputusan hari ini seolah memberi satu momentum kepada pembangkang, terutama PAS yang bersungguh menunjukkan solidariti kepada Najib,” katanya.
Mazlan berkata kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bahawa beliau telah mengemukakan isu titah adendum untuk pertimbangan Agong sekarang menunjukkan kerajaan tidak menganiaya Najib.
Anwar memaklumkan perkara itu kepada Dewan Rakyat pada 10 Dis lalu.