Remaja perempuan 14 tahun didakwa tikam ibu saudara

Remaja perempuan 14 tahun didakwa tikam ibu saudara

Bagaimanapun, remaja itu mengaku tidak bersalah selepas didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam.

remaja tikam ibu saudara
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas tuduhan mencederakan ibu saudaranya menggunakan pisau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam, Pulau Pinang atas tuduhan mencederakan ibu saudaranya dengan menikam mangsa menggunakan pisau.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Harith Mohd Mazlan, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa sengaja menyebabkan kecederaan terhadap ibu saudaranya dengan menggunakan pisau di sebuah rumah di Perai pada 11.30 pagi, 3 Jan lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzly Hassan menawarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam remaja itu, Muhaimin Hashim memohon jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh masih kanak-kanak dan bersekolah.

Majistret kemudiannya menetapkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mendekati dan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau juga menetapkan 20 Mac ini untuk laporan forensik dan perubatan.

Pada Sabtu lalu, media melaporkan seorang wanita cedera di bahagian perut selepas dipercayai ditikam dengan pisau oleh anak saudaranya ketika berlaku pertengkaran mulut antara mereka.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Ari berkata siasatan awal mendapati remaja perempuan itu tinggal bersama ibu saudaranya sejak empat hari lalu kerana menghadapi masalah keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.