Pasangan kekasih didakwa edar lebih 14kg dadah

Pasangan kekasih didakwa edar lebih 14kg dadah

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 12.30 tengah malam 28 Dis lalu.

Gavel
Cheng Ee Fei dan Chan Pei Een didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini. (Gambar Pexels)
JOHOR BAHRU:
Sepasang kekasih didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar dan memiliki pelbagai jenis dadah pada 28 Dis lalu.

Cheng Ee Fei, 32, dan Chan Pei Een, 34, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, namun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didapati mengedar dadah berbahaya jenis MDMA dengan anggaran berat 14.42kg di dalam sebuah kereta jenis Toyota Vios berwarna hitam di tepi jalan Persiaran Mutiara Mas dekat Skudai sini, kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 28 Dis lalu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan maksimum 15 kali sebatan.

Kedua-dua mereka yang turut berhadapan dua pertuduhan lain, iaitu memiliki pelbagai jenis dadah membuat pengakuan tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan majistret sama.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, mereka didakwa memiliki 24.58 gram dadah jenis ketamin dan 2.75 gram dadah jenis methamphetamine di lokasi, tarikh dan masa yang sama.

Kesalahan terbabit dilakukan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula untuk menunggu laporan kimia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.