Kereta potong mengejut punca nahas 3 kenderaan terbakar

Kereta potong mengejut punca nahas 3 kenderaan terbakar

Pemandu lori tangki cuba mengelak lalu terbabas dan melanggar Toyota Alphard dan Proton Saga yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Semalam, media melaporkan empat cedera, manakala tiga selamat selepas lori tangki membawa minyak sawit dan dua kenderaan lain terbakar dalam kemalangan di Pasir Penambang, Kuala Selangor. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Punca nahas tiga kenderaan terbakar di Pasir Penambang, Kuala Selangor semalam disebabkan tindakan sebuah kenderaan yang cuba memotong dan memasuki laluan lori tangki secara mengejut.

Ketua Polis Kuala Selangor, Azaharudin Tajudin, berkata nahas kira-kira 2 petang itu membabitkan lori tangki, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Alphard dan Proton Saga.

“Siasatan awal mendapati pemandu lori tangki berusia 37 tahun dalam perjalanan dari Tanjong Karang ke Klang.

“Setibanya di lokasi, sebuah kereta yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor pendaftaran dari arah kanan cuba memotong dan tiba-tiba memasuki laluan lori tangki,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Azaharudin berkata, pemandu lori terbabit cuba mengelak lalu terbabas dan melanggar Toyota Alphard dan Proton Saga yang sedang berhenti di lampu isyarat.

Katanya, Toyota Alphard dipandu lelaki berusia 33 tahun, manakala Proton Saga dipandu lelaki warga emas berusia 64 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Semalam, media melaporkan empat cedera, manakala tiga selamat selepas lori tangki membawa minyak sawit dan dua kenderaan lain terbakar dalam kemalangan itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.19 petang sebelum menggerakkan lapan anggota dan pegawai dari Balai Bomba Kuala Selangor.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan lori tangki minyak terbakar yang turut melibatkan kenderaan lain dipercayai berlaku di persimpangan lampu isyarat Pasir Penambang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.