
Kementerian berkata langkah berkenaan perlu untuk mengelakkan sebarang kecederaan material lanjut terhadap industri tempatan selepas penentuan awal penyiasatan antilambakan seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 23 dalam Akta Duti Timbal Balas dan Anti Lambakan.
“Kerajaan mendapati bahawa terdapat bukti yang mencukupi untuk meneruskan penyiasatan terhadap pengimportan dagangan subjek dari China dan Indonesia.
“Oleh yang demikian, kerajaan memutuskan untuk mengenakan duti anti lambakan sementara dalam bentuk jaminan bank yang bersamaan dengan nilai margin lambakan yang telah dikenal pasti dalam penentuan awal,” kata Miti.
Ia berkata penyiasatan duti anti lambakan import PET yang berasal atau dieksport dari negara tersebut dimulakan pada 9 Ogos 2024, berikutan petisyen oleh Recron (M) Sdn Bhd bagi pihak industri tempatan.
Pempetisyen mendakwa import PET daripada kedua-dua negara itu dijual ke Malaysia pada harga yang lebih rendah daripada harga yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut dan ini menyebabkan kemudaratan material kepada industri tempatan Malaysia.
Miti berkata duti antilambakan sementara tersebut akan berkuatkuasa bagi tempoh tidak melebihi 120 hari, mulai 7 Jan 2025.
“Penentuan muktamad akan dibuat tidak lewat daripada 6 Mei 2025,” katanya.
Pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar atau pengeksport asing dan persatuan-persatuan yang berkaitan dengan penyiasatan dialu-alukan untuk memberi ulasan atau pandangan terhadap laporan penentuan awal kepada MITI selewat-lewatnya pada 17 Jan 2025, 5.30 petang.
Mereka boleh mendapatkan versi tidak sulit laporan mengenai penentuan awal dengan mengemukakan permintaan bertulis kepada kementerian.