KDN haram 6 buku bertentangan budaya, nilai masyarakat

KDN haram 6 buku bertentangan budaya, nilai masyarakat

Perintah larangan yang berkuat kuasa pada 19 Dis lalu itu diwartakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

A Million Kisses in Your Lifetime and What If It's Us
Kementerian Dalam Negeri berkata semua buku itu dilarang diterbitkan kerana bertentangan dengan budaya serta nilai murni masyarakat Malaysia.
PETALING JAYA:
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mewartakan perintah larangan penerbitan, pengedaran dan pemilikan enam buku kerana bertentangan dengan budaya serta nilai murni masyarakat Malaysia.

Enam buku itu adalah ‘A Million Kisses in Your Lifetime’ oleh Monica Murphy; ‘Lose You to Find Me’ oleh Erik J Brown; ‘Punai’ oleh Asyraf Bakti; ‘Scattered Showers’ oleh Rainbow Rowell; ‘When Everything Feels Like the Movie’ oleh Raziel Reid dan ‘What If It’s Us’ oleh Becky Albertalli dan Adam Silverra.

KDN dalam kenyataan berkata perintah larangan yang berkuat kuasa pada 19 Dis lalu itu diwartakan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Semakan mendapati sekurang-kurangnya tiga buku itu mengandungi unsur atau karakter LGBT ( lesbian, gay, biseksual dan transgender).

Katanya, peruntukan di bawah Seksyen 7(1) akta itu menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan tersebut adalah dilarang secara mutlak.

“Mana-mana individu yang melanggar larangan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 8(2) akta itu yang membawa hukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

“Kerajaan ingin menyatakan komitmen berterusan dalam melaksanakan tindakan kawal selia dan penguatkuasaan bagi mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” kata kenyataan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.