
Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Siti Mang, berkata semasa rampasan pertama pada 28 Nov lalu, Cawangan Narkotik Kastam Zon Sabah berjaya merampas tiga bungkusan dipercayai dadah di gudang Mas Kargo.
“Apabila diperiksa terdapat hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 60.977kg yang dianggarkan bernilai RM1.95 juta,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, dalam rampasan kedua pada 9 Dis, Cawangan Narkotik Kastam Zon Sabah sekali lagi merampas dua bungkusan di lokasi sama.
“Hasil pemeriksaan terdapat plastik lutsinar disyaki dadah jenis syabu seberat 20.201kg dianggarkan bernilai RM696,114,” katanya.
Siti berkata, dalam operasi pada 28 Nov hingga 20 Dis lalu, pihaknya berjaya merampas 28 bungkusan di Pos Aviation Kota Kinabalu yang mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja seberat 17.15kg dianggarkan bernilai RM250,038.30.
“Modus operandi semua kes berkenaan melibatkan penghantaran dadah melalui parcel dengan jumlah dan kaedah yang tidak mencurigakan sama ada melalui saluran logistik yang sah atau Pos Aviation untuk mengelakkan pengesanan pihak berkuasa,” katanya.
Sementara itu, Siti berkata pada 2 Jan, pegawai operasi Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah menahan dan memeriksa sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar yang didapati mengandungi 50 kotak Chewing Tobacco dianggarkan bernilai RM38,500 dan melibatkan cukai sebanyak RM156,310.
“Pengimport telah gagal mengemukakan permit import yang sah berkaitan barangan terbabit. Barangan itu ialah barang larangan dan pengimportannya hanya dibenarkan dengan syarat memiliki permit import,” katanya.