Iskandar Malaysia muncul destinasi pelaburan Asia Tenggara

Iskandar Malaysia muncul destinasi pelaburan Asia Tenggara

IIB berusaha memanfaatkan jarak dekat antara Johor dengan Singapura untuk memacu pertumbuhan, menjadi kawasan tumpuan ekonomi terbaru.

Inisiatif seperti Medini Innopolis di Iskandar Puteri penting kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan prasarana termaju untuk sektor seperti IT dan bioteknologi.
ISKANDAR PUTERI:
Johor dengan pantas mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelaburan utama Asia Tenggara terbaru, hasil rancangan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Inisiatif bercita-cita tinggi ini bertujuan meningkatkan hubungan ekonomi dan kerjasama antara Johor dengan Singapura melalui lokasi strategik negeri selatan itu yang berjiran dengan republik tersebut.

Pertabalan Sultan Johor Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada awal tahun ini juga meningkatkan profil negeri itu, menonjolkan peranan penting diharap dapat dimainkan oleh negeri itu dalam masa depan ekonomi Malaysia.

Peningkatan kedudukan ini berlaku ketika Malaysia, bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, terus mengukuhkan hubungan antarabangsanya dengan kuasa-kuasa global.

“Hubungan kita dengan China kini rapat. Kita juga mengekalkan hubungan yang sangat baik dengan Amerika Syarikat sebelum ini, dan boleh dilihat pelaburan besar mengalir ke Malaysia.

“Asean pada masa ini adalah antara wilayah yang paling rancak dan menarik dari segi pelaburan dan kegiatan ekonomi,” kata Anwar dalam wawancara eksklusif dengan FMT.

“Terdapat jangkaan yang tinggi untuk Malaysia, dan kelebihan kita adalah (kemampuan) mengekalkan hubungan yang sangat baik dengan semua (negara) jiran – malah lebih lagi sekarang berbanding sebelum ini.”

Pembangunan JS-SEZ mewakili usaha bersepadu untuk mengalihkan tumpuan pelaburan daripada hab tradisi seperti Vietnam dengan menyediakan dua cadangan menarik – kecanggihan Singapura digabungkan dengan kos kompetitif dan kelebihan sumber yang ditawarkan di Johor.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menyifatkan SEZ sebagai landasan pelancaran yang ideal ke dalam pasaran Asean, dijangka mewujudkan koridor ekonomi lancar yang memupuk pelaburan dan kerjasama rentas sempadan yang teguh.

Menerajui transformasi wilayah

Inisiatif ini diterajui Iskandar Malaysia, dan khususnya bandarnya yang meriah, Iskandar Puteri.

Berpandukan rangka kerja strategik dikenali sebagai ‘PAR’, Iskandar Investment Berhad (IIB) yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Idzham Mohd Hashim bersedia memainkan peranan utama dalam merealisasikan visi JS-SEZ.

“‘P’ bermaksud populasi, di mana kita berhasrat mempopulasi kawasan ini, kerana metropolis hanya akan jadi metropolis jika ada penduduknya.

“’A’ bermaksud menarik pelaburan (attract), dan ‘R’ bermaksud menghidupkan semula (reinvigorate) daya tarikan komersial,” katanya kepada FMT.

Idzham berkata, IIB berdedikasi mewujudkan komuniti yang cemerlang dalam lingkungan Iskandar Malaysia.

Inisiatif seperti Medini Innopolis adalah penting kerana ia mewujudkan peluang pekerjaan dan menyediakan prasarana termaju untuk sektor seperti IT dan bioteknologi, membantu mengisi kawasan itu dengan komuniti yang dinamik.

Jarak Iskandar Malaysia yang dekat dengan Singapura meningkatkan daya tarikannya sebagai hab serantau, menarik pelaburan yang besar dan membolehkan kerjasama rentas sempadan.

“Kita memupuk kerjasama rentas sempadan dan berusaha mewujudkan persekitaran bersinergi yang memberi manfaat kepada ekosistem Malaysia dan Singapura. Dengan memanfaatkan jarak yang dekat dengan Singapura, Iskandar Malaysia meletakkan dirinya sebagai hab teknologi dan inovasi penting.

“Kita melengkapkan kekuatan Singapura dan menarik bakat serta pelaburan, sambil secara kolaboratif mengejar peluang pertumbuhan untuk kedua-dua wilayah,” tambah Idzham.

Pembangunan seperti Bandar Konvensyen Antarabangsa Medini (MICC) dan Tech Medini – hab khusus untuk AI, robotik, keselamatan siber dan bioteknologi – menjadi teras kepada peranannya sebagai nukleus perniagaan dan inovasi.

IIB juga memberi tumpuan pada usaha mencergaskan semula landskap komersial, dengan inisiatif seperti pembangunan daerah pusat perniagaan karbon sifar bersih di Medini, menunjukkan komitmen IIB terhadap kemampanan dan menyelaraskan dengan matlamat pengurangan karbon negara.

Di bawah kendalian IIB, Iskandar Malaysia sedang berkembang menjadi hab kegiatan ekonomi di samping menetapkan penanda aras baharu untuk pembangunan mampan.

Rantau ini merintis projek prasarana hijau dan sistem cekap tenaga, menjadi peneraju dalam pembangunan bandar yang mampan.

Wawasan ekonomi strategik Johor

Kedudukan unik Iskandar Puteri sebagai asas JS-SEZ menawarkan bukan sahaja akses pasaran Asia Tenggara yang berkembang pesat kepada pelabur, tetapi juga pangkalan strategik dengan insentif tiada tandingan.

Dengan pelbagai program mesra perniagaan, insentif cukai dan saluran bakat yang mudah diakses, Iskandar Puteri menjadi lokasi yang sesuai untuk syarikat yang ingin berkembang di rantau ini.

Program-program seperti Majlis Pembangunan Bakat Johor dan perkongsian dengan organisasi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyediakan sokongan yang tidak ternilai untuk membantu perniagaan berkembang maju.

Dengan JS-SEZ dan Iskandar Malaysia sebagai terasnya, Johor bersedia menjadi kuasa ekonomi utama di Asia Tenggara. Disokong oleh pelan pembangunan yang inovatif dan mampan, rantau ini dijangka menarik pelbagai peluang, meletakkan diri sebagai destinasi idaman pelabur.

Pada kala visi untuk projek transformatif ini terbentang, prospek pertumbuhan ekonomi dan mampan Johor kelihatan cerah, menandakan era baharu kemakmuran bagi rantau ini.

“Jika perniagaan anda sesuai dengan kawasan ini, tak perlu cari lagi, boleh pertimbangkan Medini. Kita ada semuanya untuk bantu anda mempertingkat perniagaan dan membuka peluang pertumbuhan baharu, kata Idzham.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.