Beri peluang Anwar habis penggal PM, gesa pemimpin GPS

Beri peluang Anwar habis penggal PM, gesa pemimpin GPS

Tiong King Sing berkata menukar kepimpinan tanpa melalui proses demokrasi harus dikutuk sebagai tindakan terdesak demi manfaat peribadi dan kepentingan politik.

Kelmarin Premier Sarawak Abang Johari Openg menyeru Anwar Ibrahim diberikan peluang untuk menghabiskan tempoh lima tahun sebagai perdana menteri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lagi pemimpin dari Sarawak meminta supaya Anwar Ibrahim diberikan peluang menghabiskan tempoh lima tahun pentadbirannya bagi memastikan pemulihan ekonomi negara berjalan dengan baik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing, berkata negara perlu mengambil iktibar daripada pengalaman lalu yang mana tiga perubahan pentadbiran berlaku dalam tempoh lima tahun, menjerumus politik dalam situasi huru-hara dan mengakibatkan kemudaratan besar kepada rakyat.

“Tindakan segelintir pihak yang berulang kali mencetuskan kekacauan, menyebabkan perpecahan dan menjadi ‘batu api’ bagi menukar kepimpinan kerajaan tanpa melalui proses demokrasi dalam pilihan raya harus dikutuk sebagai tindakan terdesak demi manfaat peribadi dan kepentingan politik,” katanya dalam kenyataan.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu dipercayai merujuk kenyataan Ketua Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria yang mendedahkan partinya masih bercita-cita untuk membentuk kerajaan sebelum PRU akan datang.

Perkara itu diakui Razman yang juga Adun Gunong Semanggol pada 22 Dis menerusi ceramah ‘Selamatkan Malaysia’ di markas parti itu di Kampung Gajah.

Kelmarin, Premier Sarawak Abang Johari Openg menyeru Anwar diberikan peluang untuk menghabiskan tempoh lima tahun sebagai perdana menteri.

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, terdapat pihak tertentu yang sibuk bercakap di media mengenai usaha menggantikan Anwar.

Dalam pada itu, Tiong berpendapat sebarang perubahan kepimpinan harus melalui proses pilihan raya.

“Apabila tibanya waktu pilihan raya umum akan datang, maka rakyat akan berpeluang untuk menilai prestasi kerajaan selama lima tahun sebelumnya.

“Jika Anwar gagal memberikan prestasi yang memuaskan, rakyat berhak menyatakan kehendak mereka melalui peti undi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.