Telegram dapat lesen operasi, kata Fahmi

Telegram dapat lesen operasi, kata Fahmi

Menteri Komunikasi itu berkata Meta mengendalikan Facebook, Instagram, dan WhatsApp dijangka diberi lesen dalam tempoh terdekat.

Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil hadir majlis pertukaran dokumen insiatif Kampung Digital Melaka antara Pengerusi SKMM Mohamad Salim Fateh Din (kanan Fahmi) dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Azhar Arshad disaksikan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
KUALA LUMPUR:
Telegram menjadi penyedia perkhidmatan media sosial ketiga mendapat lesen beroperasi selepas Tencent (WeChat) dan ByteDance (TikTok), kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah meluluskan permohonan lesen itu pada 2 Jan, dan Meta yang merupakan pengendali Facebook, Instagram, serta WhatsApp dijangka akan memperoleh lesen dalam tempoh terdekat.

“Jadi Telegram, TikTok, dan WeChat sudah lulus dengan Meta masih (ada) beberapa dokumen dalam proses nak hantar.

“Dijangka (dalam masa) terdekat akan selesai,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis pertukaran dokumen perjanjian inisiatif Kampung Digital Melaka antara SKMM dengan kerajaan Melaka.

Sementara itu, Fahmi telah mengarahkan SKMM mengadakan libat urus dengan Google yang mengendalikan YouTube untuk mengemukakan permohonan lesen operasinya.

Beliau berkata, walaupun masih dalam urusan libat urus, Google diberi amaran tidak melanggar undang-undang dalam negara seperti membenarkan adanya video scam dan video judi dalam talian.

Menurut Fahmi lagi, beliau menyerahkan kepada SKMM untuk berbincang dengan X (dahulunya dikenali Twitter) berhubung jumlah penggunanya di Malaysia tidak mencapai nilai ambang iaitu 8 juta pengguna.

Sistem Alamat Nasional

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata SKMM sedang giat menjalankan kajian pelaksanaan berhubung Sistem Alamat Nasional (NAS) bertujuan membentuk rangka sistem alamat berautoritatif, seragam, dan bersepadu.

Beliau berkata, apabila NAS siap sepenuhnya akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang dijadikan rujukan utama mengurus lebih 12 juta alamat di seluruh negara.

Terdahulu, pertukaran dokumen insiatif Kampung Digital Melaka antara Pengerusi SKMM, Mohamad Salim Fateh Din dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Azhar Arshad disaksikan Fahmi dan Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh.

Difahamkan, Kampung Digital Melaka merupakan inisiatif pertama dengan penggunaan kod QR bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.