
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christoper Mandut, berkata GRS sedia bekerjasama dengan mana-mana parti berkongsi visi dan misi sama membawa negeri ke arah masa depan lebih baik.
“Jika Warisan serius untuk menyertai perjuangan ini, kami menjemput mereka untuk menghantar permohonan rasmi bagi menjadi sebahagian daripada keluarga besar GRS.
“Permohonan ini akan dibawa kepada Majlis Tertinggi GRS untuk dibincangkan dengan profesionalisme dan semangat keterbukaan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Warisan Shafie Apdal dilaporkan, berkata GRS banyak kali menolak perbincangan kerjasama dengan partinya bagi PRN akan datang.
Shafie berkata, beliau banyak kali mempelawa GRS membincangkan kemungkinan kerjasama, tetapi tidak berjaya.
Mengulas perkara itu, Mandut berkata kenyataan bekas ketua menteri Sabah itu pertama kali diumumkan secara terbuka, apabila sebelum ini parti itu sering menguar-uarkan sedia bekerjasama dengan Umno.
“Sejujurnya, ini adalah kali pertama kami mendengar niat tulus ini, kerana apa yang sering kami dengar daripada pihak beliau adalah kritikan terhadap GRS.
“Sebaliknya, tidak lama dahulu, Warisan kelihatan lebih cenderung untuk bekerjasama dengan Umno,” katanya.