
Hakim Firuz Jaffril berkata mahkamah hari ini bersedia untuk mendengar rayuan berkenaan titah adendum itu.
“Apa yang saya lihat adalah kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara. Tiada apa-apa kenyataan (afidavit balasan) daripada AGC yang mengenepikan atau mana-mana responden yang menafikan kewujudan titah tersebut.
“Ketiadaan tindakan untuk mencabar kewujudan titah itu, saya terganggu,” katanya pada prosiding itu, menurut Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan membacakan afidavit AGC yang menegaskan keputusan mesyuarat lembaga pengampunan sebelum ini tidak menyebut apa-apa berkaitan titah adendum mengenai perintah tahanan rumah terhadap bekas perdana menteri itu.
Najib memohon untuk mengemukakan bukti baharu dalam rayuannya bagi memaksa kerajaan melaksanakan titah diraja yang didakwa dikeluarkan oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, yang membenarkannya menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang dikurangkan itu bawah tahanan rumah.
Beliau dipenjarakan sejak 23 Ogos 2022, susulan sabitan kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM41 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak permohonan Najib untuk membenarkan semakan dibuat, yang membawa kepada rayuan ketika ini.