
Ketua Penerangan, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata tindakan itu susulan keputusan Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan bekas perdana menteri memulakan prosiding semakan kehakiman berhubung suatu titah adendum yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Katanya, bukti itu dikuatkan lagi apabila surat Istana Pahang mengesahkan kesahihan dan kewujudan titah adendum daripada Sultan Pahang, yang merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di mana salinannya turut dijadikan afidavit di Mahkamah Rayuan.
“Titah adendum ini yang sebelum ini dikatakan ‘dengar cakap’ telah terbukti dengan penjelasan pihak Istana Pahang mengenai kesahihan titah itu.
“Pemuda PAS akan kerah seluruh jentera di peringkat negeri dan kawasan untuk membuat laporan polis hari ini terhadap mana-mana pihak yang cuba menyembunyikan titah itu.
“Kita akan gesa pihak berkuasa membuat siasatan lanjut cari siapa pengkhianat sebenar, kerana tindakan itu satu pengkhianatan bagi sebuah titah oleh seorang yang berkuasa yang menjaga negara,” katanya kepada media di pekarangan Istana Kehakiman.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan titah adendum yang membenarkannya menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan berbelah bahagi, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonan bekas Ahli Parlimen Pekan untuk mengemukakan bukti baharu apabila merit kes dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Keputusan majoriti dicapai oleh Hakim Azhahari Kamal Ramli bersama Mohd Firuz Jaffril manakala Azizah Nawawi yang mengetuai panel bersidang tidak bersetuju.
Sementara itu, Ketua Pemuda Bersatu, Hilman Idham, menyatakan kesediaan sayap tersebut bekerjasama dengan semua Pemuda parti politik bagi memastikan individu yang menjadi ‘pengkhianat’ dalam isu tersebut diheret ke muka keadilan.