Lebih 3,000 hadir sokong Najib di Putrajaya

Lebih 3,000 hadir sokong Najib di Putrajaya

Antara yang hadir termasuk Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh dan beberapa pemimpin PAS.

Penyokong yang berkumpul di luar Istana Kehakiman Putrajaya bagi menyertai himpunan solidariti terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
PUTRAJAYA:
Lebih 3,000 penyokong Najib Razak berkumpul di luar Istana Kehakiman bagi menyatakan solidariti terhadap bekas perdana menteri itu dalam prosiding di Mahkamah Rayuan berkait titah adendum.

Penyokong termasuk daripada PAS, Bersatu, Umno, and NGO hadir seawal 6.30 pagi membawa sepanduk dengan mesej seperti ‘Justice4Najib’ dan ‘BebasNajib’.

Mereka juga melaungkan ‘Hidup Bossku’ ketika konvoi penjara yang membawa Najib masuk ke pekarangan mahkamah pada 8.30 pagi.

Antara pemimpin politik dilihat hadir ke mahkamah termasuk Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, Timbalan Presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh juga antara ahli politik yang dilihat hadir setakat ini.

Dalam hantaran di Facebook Akmal berkata: ‘Anak jantan hadir sendiri bersama rakyat. Bukan duduk dalam hotel dan pergunakan rakyat’.

Sementara itu, tiga bas yang membawa penyokong Najib dilaporkan tidak dibenarkan masuk ke Putrajaya pagi tadi selepas dihalang sekatan jalan raya polis.

Portal berita SuaraTV memuat naik gambar di Facebook menunjukkan sekumpulan penyokong berdiri berhampiran bas. Mereka dilaporkan dari Langkawi, Kedah dan Pekan, Pahang.

Semalam, Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya mengetatkan kawalan keselamatan termasuk membuat beberapa sekatan jalan raya menjelang perhimpunan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.