Wang simpanan RM5,000 hangus dalam kebakaran rumah

Wang simpanan RM5,000 hangus dalam kebakaran rumah

Kebakaran di Kampung Keda itu membabitkan 13 rumah.

Kebakaran membabitkan 13 rumah di Kampung Keda, Tanjung Dawai, berjaya dikawal pada 8.12 pagi, menurut bomba. (Gambar Facebook)
SUNGAI PETANI:
Wang simpanan keluarga seorang nelayan untuk digunakan membayar sewa rumah dan ansuran pinjaman kereta berjumlah hampir RM5,000 hangus dalam kebakaran membabitkan 13 rumah di Tanjung Dawai, pagi tadi.

Julaili Abdullah, 32, berkata ketika kejadian, beliau sedang menyiapkan anak perempuannya berusia lima tahun sebelum dihantar ke tadika.

“Suami kerja sebagai nelayan dan dia ada di rumah waktu kejadian tetapi dia pun hanya sempat selamatkan dokumen penting.

“Saya pula bawa anak-anak ke tempat selamat. Perabot semuanya musnah termasuk duit tabung,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, Azme Omar, 60, pula berkata, kejadian malang itu kali kedua menimpanya selepas insiden pertama berlaku di lokasi berdekatan kira-kira 30 tahun lepas.

“Saya baru sudah menangkap ikan, dalam perjalanan pulang ada penduduk beritahu rumah saya terbakar dan dari atas bot sudah nampak kepulan asap, rasa sebak sangat.

“Kali ini tiada yang tinggal, gambar kenangan arwah isteri yang meninggal dunia dua tahun lepas juga musnah,” katanya.

Sementara itu, Azlida Abd Rahim, 29, memberitahu beliau baru pulang daripada menghantar barang jualan dan terdengar suara jiran meminta tolong pada kira-kira 7.30 pagi.

“Bila dengar suara jiran, saya buka pintu dapur dan nampak rumah mereka yang terletak bertentangan dengan dapur rumah saya dah terbakar,” katanya.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 30an dilaporkan melecur pada bahagian kaki dan tangan dalam kejadian kebakaran di Kampung Keda hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Kedah Azhar Mohamad berkata, jentera pertama tiba di lokasi pada 7.53 pagi dan api berjaya dikawal pada 8.12 pagi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.