
Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata meskipun tindakan itu dilihat tidak selari dengan ketetapan parti namun Adun Merlimau itu turun atas kapasiti individu.
“Sudah tentu sebagai pemimpin dalam Umno, keputusan ini akan dilihat umpama tidak selari dengan parti. Tetapi ini adalah perkara biasa untuk Akmal. Dia lebih selesa berpolitik sendiri dan masih berharap Umno seperti Umno yang dahulu.
“Saya rasa orang ramai faham Akmal dan Pemuda ada agenda sendiri dan tidak menggambarkan seluruh Umno,” katanya kepada FMT.
Semalam, Akmal berkata beliau tetap akan hadir menyatakan solidariti kepada bekas presiden Umno itu atas kapasiti peribadi walaupun Umno memutuskan untuk tidak meneruskan himpunan tersebut.
Umno memutuskan tidak meneruskan perhimpunan solidariti bersama Najib, atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong.
Perkembangan itu menyusul kenyataan Istana Negara, yang mengingatkan semua pihak agar menghormati Perlembagaan dan undang-undang bagi memohon keampunan atau pengurangan hukuman seseorang banduan.
Lau Zhe Wei yang juga dari UIAM pula berpendapat isu Akmal mahu hadir menyatakan solidariti kepada Najib bukanlah satu isu yang besar dan tidak melanggar pendirian Umno.
“Akmal hadir atas kapasiti peribadi, bermakna ia tidak ada kesan terhadap Umno,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan suatu perhimpunan akan diadakan pada 6 Jan, iaitu hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib, terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Setakat ini, PAS menyatakan tetap meneruskan himpunan itu walaupun Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed berkata permohonan untuk mengadakan himpunan tersebut tidak lengkap dan terpaksa ditolak.