
Presiden Umno berkata, arahan dikeluarkan setiausaha agung berhubung himpunan itu berdasarkan arahan dikeluarkan ketua polis negara, justeru perlu dipatuhi.
“Aspek keselamatan dan arahan yang dikeluarkan mempunyai alasan tersendiri dan harus dipatuhi.
“Kita harap tidak ada penganjur daripada mana-mana bahagian, atau cawangan yang turut terbabit secara rasmi di perhimpunan berkenaan,” katanya menurut Berita Harian selepas merasmikan Kuali Cafe UKM, Bangi.
Jumaat lalu, Istana Negara mengingatkan semua pihak menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam mengampunkan atau mengurangkan hukuman seseorang banduan dan menggunakan saluran perundangan ditetapkan.
Ketua Polis Negara Razarudin Husain pula menggesa orang ramai tidak menyertai apa jua perhimpunan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak, demi menghormati Agong.
Perhimpunan itu diadakan pada esok bersamaan Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.
Hari ini, Ketua Polis Putrajaya Aidi Sham Mohamed, berkata pihaknya akan mengadakan beberapa sekatan jalan raya esok susulan larangan berhimpun di Istana Kehakiman, Putrajaya.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun, daripada 12 tahun selepas ia dikurangkan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan susulan sabitan dalam kes SRC International.
Setakat ini, PAS menyatakan tetap meneruskan himpunan itu walaupun Aidi Sham, berkata permohonan mengadakan himpunan itu tidak lengkap dan terpaksa ditolak.