
Ketika ini urusan itu diletakkan di bawah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang konsesinya tamat 31 Ogos 2024 dan dibuka kepada syarikat lain untuk menghentikan monopoli.

Ahmad Farhan Mohd Sadullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata ‘isu lama’ dikhuatiri berulang jika kerajaan tidak berhati-hati dalam kualiti kawal selia dan integriti keseluruhan proses pemeriksaan, biarpun tiada lagi satu syarikat monopoli bagi penyedia perkhidmatan tersebut.
“Mungkin boleh memberi keterangan bagaimana proses pemeriksaan kenderaan selepas ini. Adakah sebarang perubahan peraturan akan diperkenalkan?
“Paling penting, proses pemeriksaan kenderaan mestilah memastikan kenderaan adalah ‘layak bergerak’ dan selamat,” katanya yang juga naib canselor UPM kepada FMT.
Khamis lalu, Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata pengumuman mengenai pengendali pemeriksaan kenderaan baharu dijangka akan dibuat menjelang akhir tahun ini.
Katanya, lebih 10 syarikat memohon untuk menjalankan pemeriksaan kenderaan di seluruh negara dan kementeriannya sedang menyemak permohonan-permohonan itu.
Sementara itu, perunding perancangan pengangkutan Rosli Azad Khan pula mencadangkan kerajaan mencontohi model pemeriksaan kenderaan United Kingdom (UK) bagi menjamin keberkesanan dan kecekapan sistem.
“Ribuan bengkel swasta di seluruh negara yang diperakui dan dikawal selia Agensi Piawaian Pemandu dan Kenderaan (DVSA) menjalankan pemeriksaan.
“Tiada unsur sentralisasi, pada masa sama akses dan kemudahan lebih luas turut terjamin. Pemilik kenderaan tidak perlu lagi menunggu giliran,” katanya.

Rosli berkata ada kebimbangan mengenai ‘objektif bercanggah’ di sebalik lantikan syarikat pemeriksaan kenderaan baharu bagi tujuan menghentikan amalan monopoli sekian lama.
“Dengan melihat pemeriksaan kenderaan sebagai peluang melabur untuk mencari keuntungan, ia berisiko tinggi kepada pihak kerajaan, pemilik kenderaan mahupun pengguna jalan raya. Ini melemahkan tujuan utama kerajaan iaitu keselamatan awam,” katanya.
“Tanpa menangani masalah rasuah dan memastikan mekanisme penguatkuasaan yang kukuh, pengenalan persaingan pengendali baharu tidak mungkin dapat menyelesaikan masalah asas dan utama industri pengangkutan ini.”