
Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Zahid Hamidi berkata, Mara bagaimanapun setakat ini belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana mangsa banjir untuk menjadualkan semula pembayaran pinjaman.
“Setakat ini, tidak ada rekod yang memperlihatkan bahawa ada rayuan daripada peminjam Mara yang terjejas banjir memohon atau merayu agar ada penangguhan pembayaran tersebut.
“Jika ada permohonan berkenaan, pihak pengurusan Mara akan meneliti dan mengadakan perbincangan dengan pemohon berkenaan untuk melakukan penjadualan semula,” kata timbalan perdana menteri itu.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Kuali Cafe@UKM di Bangunan Pusanika Universiti Kebangsaan Malayasia (UKM) hari ini.
Bagi penyewa premis Mara pula, beliau berkata, agensi itu juga akan menilai kes secara individu untuk memastikan mereka tidak menanggung kerugian akibat bencana tersebut.
Sementara itu, Zahid yang juga pengerusi Jawatankuasa Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, kerajaan akan memberi peluang kedua kepada individu yang tidak menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pelajaran ke institusi TVET.
Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengenal pasti individu berkenaan untuk mengikuti kursus TVET yang diminati.
“Pada 2023, terdapat lebih 10,160 individu tidak menduduki SPM dan jumlah hampir sama dijangka berlaku pada 2024,” katanya.
“Permohonan memasuki satu daripada 1,398 institusi TVET yang diselaraskan di seluruh negara boleh dibuat melalui platform UP_TVET untuk individu tersebut memilih kursus dan institusi yang sesuai dengan minat mereka.”
Baru-baru ini dilaporkan, peratusan kehadiran calon SPM 2024 mencecah 97% setakat 2 Jan dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, kementeriannya masih dalam proses mengemas kini memandangkan terdapat kira-kira 10,000 calon yang belum mengesahkan kehadiran.